Dua rakan sekerja maut kereta terbabas, terbakar di Jalan Sungai Besi

Dua rakan sekerja maut kereta terbabas, terbakar di Jalan Sungai Besi


mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Dua rakan sekerja maut selepas kereta dinaiki terbabas sebelum terbakar dalam kemalangan di Jalan Sungai Besi dari arah pusat bandar menghala ke Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.01 pagi itu, mangsa lelaki berusia 29 tahun rentung manakala wanita berusia 23 tahun mengalami kecederaan parah di kepala meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah Honda City Hatchback berwarna kelabu yang dipandu lelaki itu bersama penumpang wanita.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang menuju ke Ampang selepas menghadiri majlis makan malam anjuran syarikat perbankan antarabangsa.

“Ketika melalui satu selekoh di lokasi kejadian, pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas dan melanggar tembok tiang di sebelah kiri jalan menyebabkan kereta itu terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheras membantu operasi memadam kebakaran serta mengeluarkan mangsa dari kenderaan.

Katanya, pemandu rentung manakala penumpang wanita parah di bahagian kepala sebelum kedua-duanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan Hospital Kuala Lumpur.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top