am@hmetro.com.my
Kota Baru: Dua lelaki rakyat Malaysia ditahan oleh pihak berkuasa Thailand dalam operasi berasingan di bandar Sungai Golok minggu lalu kerana kesalahan berkaitan dadah dan imigresen.
Komander Polis Narathiwat, Mejar Jeneral Prayong Kotsakha berkata, suspek pertama ditahan oleh pasukan polis Sungai Golok pada 6 November.
“Lelaki rakyat Malaysia berusia 53 tahun itu ditahan di Soi 3, Jalan Chonthara Khet di bandar Sungai Golok kira-kira jam 3 petang (waktu Thailand).
“Polis Thailand merampas 0.13 gram (g) heroin daripada suspek, yang juga didapati positif metamfetamin dan morfin,” katanya ketika dihubungi malam ini.
Prayong berkata, lelaki Malaysia itu akan didakwa atas kesalahan memiliki narkotik Kategori 1 (heroin) untuk kegunaan peribadi tanpa kebenaran sah, penggunaan narkotik Kategori 1 dan 2 (metamfetamin dan morfin) tanpa kebenaran, dan memandu motosikal di bawah pengaruh narkotik Kategori 1.
Dalam kes berasingan, katanya, polis Peronda Sempadan Sungai Golok menahan lelaki rakyat Malaysia kedua, pada 7 November.
“Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan di sebuah rumah di bandar Sungai Golok kira-kira jam 5.40 petang (waktu Thailand) pada 7 November.
“Lelaki itu akan didakwa kerana memasuki dan tinggal di Thailand tanpa kebenaran,” katanya.
Prayong berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan di balai polis Sungai Golok sementara menunggu siasatan lanjut dan prosiding undang-undang.
© New Straits Times Press (M) Bhd






