KUALA LUMPUR – Dua petarung muda negara, Adam Mikail dan Nur Dhea Salsabila Saifuddin Yusof bakal menggalas cabaran Malaysia di pentas Kejohanan Muaythai Remaja Dunia IFMA 2025 yang akan berlangsung di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada September ini.
Mereka akan mewakili negara dalam kategori masing-masing dengan Adam Mikail bertanding dalam kategori junior lelaki 10-11 tahun 30kg, manakala Nur Dhea Salsabila Saifuddin Yusof pula dalam kategori junior perempuan 14-15 tahun 45kg.
Majlis Penyerahan Jalur Gemilang, pakaian sukan dan sumbangan tajaan korporat telah diadakan di sebuah kafe di Kuala Lumpur pada Jumaat, menandakan sokongan padu kepada dua atlet remaja ini sebelum mereka berlepas.
Mantan Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS), Datuk Dr Suhardi Alias, berkata kejohanan anjuran Persekutuan Muaythai Amatur Antarabangsa (IFMA) ini merupakan peluang penting untuk atlet remaja menimba pengalaman antarabangsa dan mengharumkan nama negara.
“Kejohanan Muaythai Remaja Dunia IFMA 2025 di Abu Dhabi akan berlangsung pada bulan September 2025, di mana dua atlet muda Malaysia, Adam Mikail dan Nur Dhea Salsabila Saifuddin Yusof, akan mewakili negara dalam kategori masing-masing. ‘
“Kejohanan ini merupakan peluang penting bagi atlet remaja untuk mendapatkan pengalaman antarabangsa dan mengharumkan nama negara,” katanya.
Malah menurut beliau lagi, penyertaan Adam dan Nur Dhea bukan sahaja memberi pendedahan dan pengalaman berharga, malah turut meletakkan mereka sebagai duta kecil negara yang menggalas misi penting untuk membawa pulang kejayaan.
“Semoga semangat juang mereka yang tinggi dapat memberikan hasil yang membanggakan buat Malaysia di pentas antarabangsa,” ujarnya.