Dua sepupu maut lori rempuh tiang jejambat

Dua sepupu maut lori rempuh tiang jejambat


am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Pemandu dan kelindan maut selepas lori dinaiki terbabas lalu merempuh tiang jejambat dalam satu kemalangan dengan sebuah motosikal dekat lampu isyarat persimpangan bertingkat Indah Permai, Jalan Sepanggar, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa yang terbunuh iaitu pemandu lori, Sajuan Madri, 34, dan sepupunya iaitu kelindan, Eddie Hariz Zulfadzli, 18, dan kedua-dua dari Kampung Taun Gusi, Kota Belud.

Difahamkan, Eddie adalah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang menunggu keputusan peperiksaan itu yang akan diumumkan esok.

Penunggang motosikal lelaki berusia 15 tahun parah dan dikejarkan ke Hospital Likas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.23 petang.

“Setiba di lokasi didapati kemalangan membabitkan sebuah lori enam tan dan motosikal Honda Vario.

“Terdapat tiga mangsa terbabit iaitu pemandu dan kelindan lori tersepit yang berjaya dikeluarkan pasukan bomba menggunakan peralatan khas.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Penunggang motosikal yang parah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top