Bintang pop tersohor Indonesia, Raisa, bakal kembali mengubati kerinduan peminat di Malaysia menerusi konsert jelajah terbaharunya, Raisa Ambivert Tour.
Persembahan yang amat dinantikan ini dijadualkan berlangsung pada 13 Februari 2026, bertempat di lokasi konsert ikonik, Zepp Kuala Lumpur, bermula jam 8.30 malam.
Dianjurkan bersama oleh Sembang Kari Entertainment dan MHT Live My, dengan Juni Concert sebagai rakan penganjur, konsert ini bakal menyaksikan Raisa membawakan naratif seni yang lebih peribadi menerusi tema “Ambivert”. Tema ini mencerminkan sisi personalitinya yang unik, selain menggabungkan elemen dinamik dan emosi dalam satu persembahan yang penuh bertenaga.
Mengulas mengenai penganjuran ini, En Mohd Fuad bin Simim, Pengarah Sembang Kari Entertainment berkata, kembalinya Raisa ke Kuala Lumpur adalah sebagai penghormatan buat peminatnya.
“Menerusi konsep ‘Ambivert’ ini, kami ingin memberi ruang kepada peminat untuk melihat sisi Raisa yang lebih jujur-di mana ada ketikanya suasana menjadi sangat dekat dan ‘healing’, manakala ada ketikanya pula penuh dengan keriangan pop yang dinamik.
“Kami mahu setiap penonton pulang dengan rasa puas setelah melalui sebuah kembara perasaan yang diceritakan menerusi vokal hebatnya,” katanya.
Manakala En. Adi Acong, wakil penganjur bersama dari MHT Live My turut berkongsi rasa teruja apabila dapat merealisasikan ‘Raisa Ambivert Tour’ di Malaysia.
“Kami di MHT Live MY berasa amat bangga dapat bekerjasama dalam merealisasikan ‘Raisa Ambivert Tour’ di Malaysia. Raisa adalah seorang pencerita yang hebat menerusi lagu-lagunya, dan melalui tema unik ini, peminat akan disajikan dengan sebuah pengalaman audio-visual yang sangat istimewa di Zepp KL.
“Kami komited untuk memastikan setiap aspek produksi berada pada tahap tertinggi demi memberikan memori yang tidak akan dilupakan oleh semua peminat Raisa di Malaysia,” jelasnya.
Malah, menurut pelantun lagu Kali Kedua itu, dia menyatakan rasa tidaknya untuk bertemu peminat di Malaysia.
“Kuala Lumpur sentiasa mempunyai tempat yang sangat istimewa di hati saya kerana sokongan peminat di sini yang luar biasa dan sentiasa memberikan tenaga yang positif.
“Menerusi ‘Ambivert Tour’, saya ingin membawa penonton menyelami dua sisi berbeza dalam diri saya ada masanya yang sangat intim dan tenang, dan ada masanya yang penuh dengan keriangan. Saya telah menyediakan susunan nuzik yang istimewa untuk malam it dan tidak sabar untuk mencipta kenangan baharu bersama anda semua,” ujarnya.
Konsert tersebut turut menampilkan penyanyi berbakat besar, Barsena Bestandhi sebagai artis jemputan yang akan menambah variasi dan warna muzik pada malam berkenaan.
Tiket boleh didapati menerusi laman web rasmi di RAISAMBIVERT.COM. Peminat disaran mendapatkan tiket lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan.






