syafil.syazwan@hmetro.com.my
SIAPA sangka, dalam pada kita melihat kehidupan figura, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 53, yang ‘meriah’ dan sentiasa murah dengan senyuman, rupanya ada sesuatu disembunyikannya.
Sekitar 15 tahun lalu, saat namanya berada di kemuncak kerjaya, statusnya sebagai isteri gugur saat talak dilafazkan bekas suami, Adzmin Osman.
Dugaan tidak terhenti di situ, Raja Azura yang mesra disapa dengan panggilan Kak Engku juga diduga dengan kehilangan pekerjaan selepas ditamatkan kontrak sebagai penyampai radio Sinar FM.
“15 tahun lalu, saya bekerja di stesen radio, Sinar FM. Selepas saya bercerai pada 2010, pada 2015, saya diberhentikan kerja. Pada masa sama, anak-anak sedang bersekolah.
“Jadi, sebelum ditamatkan kontrak, tak ada siapa yang tak tahu betapa susahnya saya waktu itu. Saya tak pernah mengadu kepada sesiapa termasuk keluarga mentua atau keluarga saya kecuali ibu sebab saya rapat dengan ibu.
“Dia idola saya dan banyak membimbing saya pada waktu itu. Antara nasihatnya, jangan keluar rumah. Rawat diri sendiri dan itu yang saya lakukan.
“Kebetulan, pada waktu itu juga saya kenal rapat Dr Fadzilah Kamsah. Jadi, terima kasih saya ucap kepada beliau kerana banyak kongsi ilmu dan kekuatan kepada saya selain rakan saya di radio antaranya Salleh Yaacob dan lain-lain,” katanya.
Tahun 2015 bagai tahun kejutan buatnya kerana bukan sahaja tugasnya sebagai penyampai radio ditamatkan namanya juga digugurkan daripada menjadi pengacara program Kilauan Emas dan Primadona.
“Selepas diberhentikan, saya menganggur dua tahun. Saya duduk di rumah sebab tak ada peluang kerja untuk saya waktu itu. Nasib baik saya dapat teruskan kelangsungan hidup sebab saya orang yang jenis menyimpan duit.
“Sewaktu menjadi penyampai radio, semua duit bonus saya simpan. Jadi, duit itulah saya gunakan untuk belanja harian dan saya terpaksa berhentikan anak saya dari sekolah swasta sebab dah tak mampu.
“Saya tak pernah ceritakan kepada orang lain. Tapi, Insya-Allah, niat kita betul nak membesarkan anak dengan baik dan kita pun tak ada niat untuk bergaduh dengan sesiapa. Kita nak berjuang untuk jaga anak dulu dan jadikan itu keutamaan.
“Walaupun tiada pekerjaan pada waktu itu, saya bersyukur dapat didik mereka dari kecil hingga masuk universiti. Hari ini, saya rasa bangga dengan diri saya,” katanya.
Mengimbau ketika zaman masih bekerja dan pada masa sama, membesarkan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Raziq Adzmin, Megat Luqman Hakim Adzmin dan Puteri Mia Maizura Adzmin, Raja Azura juga berkongsi mengenai pengalaman pembantu rumah melarikan diri.
“Ada satu hari, saya pergi kerja dan bila balik ke rumah, saya tengok pembantu rumah dah larikan diri tinggalkan anak saya di rumah sendirian.
“Saya terpaksa keluar bekerja sambil bawa anak dan minta bantuan ibu saudara jagakan mereka di kafe tempat kerja sementara saya selesaikan kerja.
“Tapi, saya tak ada rasa marah atau dendam pun. Memang fokus saya waktu itu, saya tak kisah walaupun bekas suami tak bagi duit. Yang penting, anak-anak ada bersama saya dan saya nak jaga anak-anak dengan baik,” katanya.
Dalam pada terus tabah berdepan dugaan kehidupan, Raja Azura menyimpan doa dan berjanji kepada dirinya sendiri untuk bangkit semula selepas anak-anaknya berjaya kelak.
“Saya berjanji kepada diri saya, satu hari nanti, kalau anak saya dah genggam segulung ijazah, baru saya akan melangkah ke mahkamah untuk berjuang.
“Bila anak-anak dah besar, saya dah rasa ada satu kekuatan dan keyakinan yang sangat tinggi untuk tampil ke mahkamah sebab saya berjaya mendidik anak-anak dengan baik.
“Saya nak cakap kepada Adzmin, saya tak suruh dia ucapkan terima kasih kepada saya pun. Tak perlu. Saya pun tak minta apa yang dia hutang dengan saya. Tidak. Saya hanya minta untuk anak-anak sahaja.
“Jadi, tolonglah berikan kerjasama. Saya dah cakap, kalau dah kahwin, beritahu. Kalau ada anak, beritahu. Sekurang-kurangnya, anak-anak saya tahu bahawa mereka ada adik-beradik lain,” katanya.
Bagaimanapun, artis serba boleh itu tidak mahu mendedahkan anak-anaknya kerana baginya, ini adalah perjuangannya sebagai ibu untuk mereka.
“Saya tak benarkan anak beri kenyataan sebab ini ‘peperangan’ saya. Biarlah saya berdepan dan anak-anak saya duduk di belakang.
“Bila saya beri lampu hijau, baru mereka bersuara. Saya nak anak-anak beri tumpuan pada perjalanan kehidupan mereka di belakang,” katanya.
Menutup temu bual, Raja Azura menitipkan pesan kepada bekas suaminya agar memberikan kerjasama dan selesaikan tanggungjawabnya.
“Kalau dia rasa nak selamat di dunia dan akhirat, Adzmin Osman, tolonglah datang ke mahkamah dan beri kerjasama. Saya pun tak ada nak aibkan sesiapa dan nak selesaikan secara tenang sahaja,” katanya.
Untuk rekod, Raja Azura dan Adzmin berumah tangga pada Mac 2001 sebelum disahkan bercerai pada 2010.
© New Straits Times Press (M) Bhd






