Ducati diberi amaran usah leka

Ducati diberi amaran usah leka


Rom: Bos Ducati, Gigi Dall’Igna memberi amaran kepada pasukannya agar tidak leka selepas pencabar mereka di MotoGP mula menunjukkan belang sebenar ketika Grand Prix Qatar.

Ducati, menerusi Marc Marquez, terus mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini apabila mencatat kemenangan berganda menerusi perlumbaan pecut dan utama di Losail.

Ia adalah kemenangan ke-21 berturut-turut buat pengeluar dari Itali itu.

Namun, momentum itu hampir terganggu apabila Maverick Vinales dari KTM Tech3 mengejutkan ramai dengan mendahului perlumbaan utama sebelum akhirnya dipintas oleh Marquez di peringkat akhir.

Vinales berjaya mengekang Francesco Bagnaia dan menamatkan perlumbaan di tempat kedua, tetapi kemudian kehilangan kedudukan podium akibat dikenalakan penalti.

Dall’Igna tetap memuji kejayaan Ducati, namun mengakui KTM memberi isyarat yang jelas bahawa mereka bersedia untuk mencabar kejuaraan.

“Satu lagi hujung minggu istimewa buat jentera dan pelumba kami. Ducati mencatat kemenangan satu-dua di podium dengan lima jentera dalam enam teratas.

“Kemenangan ini, yang ke-21 berturut-turut, cukup bermakna kerana berlaku dalam keadaan kami ditekan hebat oleh pencabar lain.

“Situasi ini mengingatkan kami agar tidak sesekali leka,” katanya.

Dall’Igna turut melabelkan prestasi Marquez sebagai ‘tiada tandingan’, terutama sekali kerana Losail bukan litar yang pernah berpihak kepada pelumba itu sebelum ini.

“Marc sekali lagi menunjukkan gaya tunggangan mantap, tahu bila untuk menyerang dan bila untuk menyimpan tenaga,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top