am@hmetro.com.my
Kota Tinggi: Bekas Pengerusi Belia Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Felda Semenchu di sini, melahirkan rasa sedih apabila tidak dapat lagi aktif bersama masyarakat seperti sebelum ini.
Ini kerana, Ariff Muslizam, 51, kini terlantar dan bergelut dengan kesakitan dipercayai akibat kanser paru-paru.
Bapa kepada tiga orang anak itu yang berniaga roti canai sebelum ini, terpaksa bergantung kepada ubat tahan sakit selepas keadaan kesihatannya semakin merosot sejak Ramadan lalu.
Menurut isterinya, Ruhana Musap, 46, kesihatan suaminya mula merosot selepas mengalami sesak nafas sebelum ditahan selama seminggu di wad Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini.
“Ketika itu, kami tak tahu suami sakit apa. Sebelum ini, kalau ke klinik, doktor hanya cakap sakit biasa sahaja. Doktor sarankan suami melakukan imbasan CT dan hasilnya terdapat kesan putih di paru-parunya dan doktor syak ia adalah kanser.
“Bagaimanapun, sehingga kini tidak tahu lagi kanser itu berada pada tahap berapa. Sekarang, kami sedang tunggu keputusan lanjut dari pakar di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru,” katanya.
Ruhana berkata, sejak dua minggu lalu, kesihatan suaminya semakin merosot dan kini hanya terlantar serta tidak mampu lagi berjalan selain berat badannya turun mendadak.
Katanya, dia buntu apabila kehilangan punca pendapatan kerana sebelum ini mereka berniaga sarapan pagi di hadapan rumah, namun kini perlu memberi fokus sepenuhnya kepada penjagaan suaminya yang kini menetap di rumah mentua.
“Sekarang suami hanya mampu makan bubur kosong dan susu khas yang disarankan pakar pemakanan hospital.
“Disebabkan keadaan suami yang terlantar dan tidak boleh duduk, kami juga terpaksa menyewa ambulans untuk membawa dia mendapatkan rawatan di hospital.
“Minggu lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar bantu kos ambulans ke hospital. Cuma minggu depan, suami perlu ulang alik ke HSI, buntu juga kerana kos sehala sahaja untuk ambulans dari HKT ke Felda Semenchu sudah mencecah RM250, inikan pula ke HSI,” katanya.
Terdahulu, Ariff menerima kunjungan Pengerusi Belia MBFM Felda Semenchu, Khairul Aman Mohd Shah dekat Felda Semenchu di sini.
Mengulas lanjut, Ruhana berkata, Ariff kini hanya diberi morfin untuk menahan sakit, namun suaminya tidak tahan dengan kesan panas dialami tubuh selepas pengambilan ubat itu.
“Doktor belum bagi ubat lain sebab masih tunggu diagnosis penuh penyakitnya. Sekarang kami hanya mampu tunggu dan jaga dia sebaik mungkin,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam atas nama Ruhana Musap, 0113 5020 1665 96.
© New Straits Times Press (M) Bhd