sukan@hmetro.com.my
Sebagai peminat Arsenal, jika ditanya kelab mana paling dibenci di Liga Perdana Inggeris (EPL), sepantas kilat saya boleh menjawab pasukan itu adalah Manchester United.
Ini kerana saya membesar ketika era ‘persengketaan’ hebat di antara dua pengurus legenda, Arsene Wenger dan Sir Alex Ferguson terutama di penghujung 1990-an hingga musim 2003/04.
Dengan gaya umpama profesor, Wenger bertanggungjawab mengubah corak permainan Arsenal daripada imej membosankan dengan lazimnya kemenangan 1-0 ketika di bawah kendalian George Graham kepada pendekatan menyerang menghiburkan.
Di bawah bimbingan Wenger, Arsenal berjaya memenangi gelaran EPL sebanyak tiga kali iaitu pada musim 1997/98, 2001/02 dan paling hebat mencipta sejarah dengan rekod tanpa kalah 38 perlawanan sepanjang musim 2003/04 hingga digelar ‘The Invincible’.
Rekod tanpa kalah itu berterusan hingga perlawanan ke-49 sebelum berakhir dengan kekalahan di tangan United menerusi cara menyakitkan hati.
Tanpa Video Bantuan Pengadil (VAR), saya masih teringat bagaimana Wayne Rooney memperdaya pengadil kononnya dia dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Sol Campbell, sedangkan ulang tayang menunjukkan tiada langsung sentuhan. United diberikan sepakan penalti dan menyempurnakannya untuk memenangi perlawanan itu.
Itu hanya satu contoh mengapa saya membenci United ketika itu. Di bawah Ferguson, United sentiasa ada cara memenangi perlawanan walaupun kadangkala tidak beraksi baik hingga mampu memenangi 13 trofi EPL
Mereka ada karakter dan lagak. Lihat saja muka bengis dan corak permainan keras Roy Keane, riak sombong Eric Cantona dengan kolar baju dinaikkan, muka jambu David Beckham tapi memiliki kualiti sepakan percuma hebat, selain kelicikan Christiano Ronaldo dan Ryan Giggs.
Tapi Arsenal juga ketika itu ada karakter. Lihat saja pengaruh kapten Patrick Vieira, sentuhan penyudah Thierry Henry, kebijaksanaan Dennis Bergkamp, kelicikan Robert Pires di bahagian sayap, selain kekentalan Campbell mengemudi benteng pertahanan.
Di sebabkan itu apabila kedua-dua pasukan bertembung, perlawanan pasti sengit dan panas. Dan sebagai peminat, ia satu pementasan bola sepak yang hebat, aksi berkualiti penuh drama.
Banyak lagi ‘dosa’ yang dilakukan United dan Ferguson terhadap Arsenal antaranya ‘mencuri’ kapten Robin van Persie ketika The Gunners terpaksa berjimat selepas membina Stadium Emirates, dan pada musim berikutnya menjulang trofi EPL dengan bantuan penyerang Belanda itu.
Itu cerita lama, sejujurnya saya tidak lagi membenci jauh sekali mencemburui United pada era ini, Sebaliknya saya kasihan kerana kelab ittu masih terkial-kial membina pasukan selepas zaman Ferguson.
Ketika Arsenal sudah memiliki skuad yang hampir siap di bawah kendalian Mikel Arteta seperti dibuktikan dengan berada di puncak EPL dan Liga Juara-Juara (UCL), United baru memecat pengendali Portugal, Ruben Amorim dan melantik bekas pemain, Michael Carrick sebagai pengurus sementara.
Carrick bermula cemerlang apabila membimbing anak buahnya mengejutkan Manchester City 2-0 minggu lalu di Old Trafford, namun akan berdepan ujian lebih hebat apabila bertandang ke Emirates tengah malam ini.
Kalau dulu saya berdebar setiap kali berdepan United ketika zaman Ferguson, kini jiwa saya tenang umpama bertemu pasukan corot seperti Wolves
© New Straits Times Press (M) Bhd






