Dulu korbankan 150 nyawa, bekas gangster kini buru reda Ilahi

Dulu korbankan 150 nyawa, bekas gangster kini buru reda Ilahi


DAHULUNYA, lelaki itu paling digeruni dalam dunia gangster di Australia lantaran tangannya tidak pernah gentar mengetik picu senjata tepat mengenai sasaran.

Sebagai penembak tepat, bidikannya tidak pernah tersasar dan pernah membuat lebih 150 nyawa melayang.

Selain peluru, dadah dan jenayah terancang pernah menjadi ‘makanannya’ suatu ketika dahulu.

Namun, hari ini, lelaki yang sama itu kini duduk tenang dengan tasbih pada tangan dan bibirnya tidak lekang menyebut nama ALLAH SWT selepas hatinya ‘dipeluk’ hidayah Islam.

“Saya membunuh lebih 150 orang, mungkin lebih. Selepas 150 (orang), saya berhenti kira,” ujar bekas gangster yang namanya enggan dikenali ketika diwawancara YouTuber Lily Jay baru-baru ini.

LELAKI yang enggan dikenali namanya itu menceritakan detik-detik pengislamannya dan kisah lampaunya ketika diwawancara YouTuber Lily Jay baru-baru ini supaya ia dapat dijadikan pedoman buat semua. -Foto’ YOUTUBE LILY JAY

Walaupun tidak mahu namanya disebut, namun kisahnya cukup memberi inspirasi untuk membuka mata ramai bahawa hidayah ALLAH itu mampu menyapa hati sesiapa pun yang dikehendaki-NYA sekalipun mereka berdiri dalam kegelapan.

Mengimbas kembali detik bergelar saudara baharu, lelaki itu berkata, ia bermula apabila dia dijatuhi hukuman penjara selama sembilan tahun selepas terlibat dalam satu insiden tembakan.

Di dalam sel yang sepi itulah hidayah ALLAH mula menyapa.

“Waktu di penjara, saya banyak berfikir. Di situlah saya menemukan Tuhan. Saya menemukan ALLAH dan saya ikut jalan-NYA,” ujarnya.

Lelaki itu kemudian mula membaca al-Quran, mempelajari solat lima waktu dan menghadiri solat Jumaat bersama banduan lain.

Rupanya segala tindak-tanduknya itu mendapat perhatian penghuni penjara yang lain hingga dirinya digelar sebagai ‘abang imam’.

Apatah lagi, dia mampu memimpin solat, di samping memberi nasihat kepada penghuni lain.

“Ini yang saya perlu buat untuk agama saya. Kita boleh pilih untuk jadi baik. Kita juga boleh pilih untuk jadi jahat.

“Alhamdulillah, saya pilih untuk jadi baik,” ungkapnya.

BEKAS gangster itu memeluk Islam ketika di dalam penjara dan pernah menjadi 'abang imam' memimpin solat penghuni di situ. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

BEKAS gangster itu memeluk Islam ketika di dalam penjara dan pernah menjadi ‘abang imam’ memimpin solat penghuni di situ. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

Bayangkan hati yang dahulunya keras kini hadir dengan penuh ketenangan selepas menerima nur Islam.

“Ketenangan itu datang bila kamu berserah. Tak ada lagi rasa takut kecuali kepada ALLAH,” katanya.

Usai hukuman penjaranya tamat, lelaki itu diusir dari Australia. Namun begitu, perjalanan hijrahnya menjadi Muslim sejati tidak terhenti di situ.

Dia kini berdakwah kepada anak-anak muda dan menyeru mereka agar menjauhi jalan gelap yang pernah direntasnya.

“Gangster terbesar bukan yang paling banyak membunuh. Gangster terbesar adalah yang boleh bangun pagi untuk solat Subuh dan solat lima waktu,” tuturnya.

Sesungguhnya, dunia sememangnya tempat ujian bagi setiap hamba-NYA. Lelaki itu sekali lagi diuji apabila isterinya yang dipanggil Sharon mengalami kecederaan dan terpaksa menjalani pembedahan pinggul.

Mengikut perancangan asal, pembedahan itu sepatutnya mudah, namun Sharon mengalami komplikasi tidak dijangka sebelum disahkan meninggal dunia.

“Satu perkara yang buat hati dan jiwa saya tenang adalah seminggu sebelum isteri masuk ke hospital, dia memeluk Islam. Meremang bulu roma saya. Ya, dia masuk Islam. Betapa mustahilnya itu terjadi seminggu sebelum dia meninggal.

“(Sebelum isteri meninggal) Saya bisikkan syahadah di telinganya tiga kali dan pada kali ketiga, air matanya menitis. Saya tahu dia mendengar,” katanya.

LELAKI itu diuji apabila isterinya, Shanon meninggal dunia pada hari Jumaat dalam bulan Ramadan lalu. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

LELAKI itu diuji apabila isterinya, Shanon meninggal dunia pada hari Jumaat dalam bulan Ramadan lalu. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

Shanon meninggal dunia pada hari Jumaat dalam bulan Ramadan dan lelaki itu sendiri turut mengambil peluang memandikan jenazah isterinya serta menyaksikan keajaiban berlaku.

“Semua tanda dan bekas cucuk jarum hilang bila saya mandikan dia. Semakin saya mandikan, semakin (terpancar) cahaya (pada wajahnya),” ujarnya.

Sebelum menutup bicaranya, lelaki menitipkan pesanan kepada anak muda supaya berpegang teguh kepada agama, solat lima waktu sehari, serahkan tubuh dan jiwa kepada ALLAH SWT.

“Kalau kamu boleh memiliki semua wang di dunia, tetapi kamu tak kenal Tuhan, kamu tetap orang paling miskin sebab bila kamu mati, kamu tidak boleh bawa satu sen pun.

“Tapi kalau kamu solat lima kali sehari dan serahkan tubuh serta jiwa kamu kepada ALLAH dan ikut (suruhan) Nabi Muhammad SAW, kamu ialah orang paling kaya di bumi,” titipnya.



Source link

OR

Scroll to Top