Dulu saya bantu orang, kini saya pula dibantu: Nas Ahmad

Dulu saya bantu orang, kini saya pula dibantu: Nas Ahmad


Kuala Lumpur: “Satu ketika dulu saya juga wartawan, saya editor, saya penyunting, saya produser dan sekarang di hujung usia saya, di hujung karier saya, saya pula mengalami nasib apa saya pernah buat dulu seperti dapatkan artis susah keluarkan kisah mereka (kemudian) mereka dapat sumbangan daripada mana-mana pihak,” kata bekas wartawan program hiburan popular, Melodi iaitu Nas Ahmad, 62.

Beliau seorang daripada 13 pengamal media dan bekas pengamal media menerima sumbangan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) kerjasama Titipan Kasih Harian Metro dan Bank Simpanan Nasional (BSN) menerusi BSN Care 50 Hari Memberi – BSN Jengah, TKHM Singgah.

Program itu juga bersempena dengan sambutan ulang tahun jubli emas BSN yang ke-50 pada tahun ini.

Nas atau nama sebenar, Md Nasir Ahmad berkata, Harian Metro dan BSN antara beberapa lagi pihak lain yang sangat prihatin kepada perkara memberi sumbangan kepada mereka kurang bernasib baik.

Beliau kini tidak lagi mampu bekerja akibat masalah jantung dihidapi sejak 2022 sehingga memberi kesan kepada kewangannya berikutan sudah hilang punca pendapatan.

“Apa kita (saya) buat bersyukurlah dapat membantu mana termampu dahulu dan untuk kali ini kita bukan minta balasan apa, tak minta pun tak terfikir pun tetapi ditakdirkan macam itu what goes around comes around.

“Cuma saya nak nasihat kepada semua kalau boleh simpanlah duit untuk insurans ke, kalau dia dah bersara ada duit sakit ke. Walaupun sebenarnya payah sebab katakanlah sebelum bersara ada simpan RM30,000 kononnya duit kalau sakit.

“Satu orang sakit (dalam keluarga), contohnya sakit jantung seperti saya nak ke Institut Jantung Negara (IJN) kena RM30,000 dah habis…itu kita sakit, kalau isteri kita pula sakit, kalau anak juga sakit, satu keluarga? Mana lagi nak korek duit, memang di luar daripada apa yang kita dapat, yang kita mampu,” katanya.

Nas memberitahu keadaan kesihatannya pada masa ini masih cepat letih dan kini kedua belah matanya pula terpaksa dibedah.

Sementara itu, jurufoto New Straits Times Press (NSTP) Muhamed Fathil Asri, 51, yang menjalani pembedahan buang ketumbuhan di kepalanya di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Februari lalu meluahkan rasa kesyukuran menerima sumbangan.

Bagi keluarga kakitangan Harian Metro, Suraya Effizan Mohd Nawai, 48, pula berkata sumbangan diterimanya memberi satu perasaan dihargai sebagai orang yang sakit.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR