KLUANG: “Dulu ahli Pas undi parti lain, akan rosak iman.”
Demikian kata Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu ketika mengimbau pengalamannya semasa di dalam Pas dan ketika parti itu menjalin kerjasama dengan DAP di dalam Pakatan Rakyat (PR).
Beliau membidas sentimen perkauman yang dimainkan oleh pihak lawan setiap kali pilihan raya diadakan demi meraih sokongan terutama dari orang Melayu.
“Setiap kali menjelang pilihan raya, isu perkauman akan dimainkan. Isu ini dimainkan untuk mendapat undi, kami dahulu dalam Pas, kami tidak boleh undi parti lain.
“Undi Barisan Nasional (BN) dan UMNO, rosak kami punya iman dahulu. Fatwa-fatwa atau pegangan ini berubah-ubah ikut kepetingan pada waktu itu,” katanya di sini, hari ini.
Beliau hadir bagi membantu calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Dr. Mohd Zuhan Mohd Zain di perkarangan Flat Haji Manan, di sini.
Dalam pada itu, Mohamad turut mengkritik kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengenai tidak boleh duduk ‘semeja’ dengan pimpinan DAP.
Katanya, kenyataan Onn Hafiz itu sekadar permainan politik bagi meraih undi dari orang Melayu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Ini hanya dimainkan sebagai isu politik untuk mengaut undi orang Melayu. Di Perak, UMNO bekerjasama dengan DAP, kalau DAP tidak sokong UMNO tidak boleh jadi Menteri Besar, tidak ada pun Menteri Besar kata beliau tidak mahu bekerjasama dengan DAP.
“Pahang juga majoriti besar kerusi adalah DAP tetapi UMNO menjadi Menteri Besar, kenapa boleh bekerjasama? Sebab kepentingan politik,” katanya.
Tambahnya, UMNO Johor cuba untuk mencari undi daripada orang Melayu pada 11 Julai ini sebanyak mungkin.
“Isu ini adalah isu politik sementara, sebab mahu pengaruh orang Melayu kampung. Konon orang Cina nak ambil alih Malaysia, tahukah pengundi Cina semakin berkurang?” katanya.






