DUN Melaka tunggu Jailani serah surat rasmi sertai PAS – Speaker

DUN Melaka tunggu Jailani serah surat rasmi sertai PAS – Speaker


MELAKA – Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sedang menunggu surat rasmi daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis berhubung keputusannya menyertai PAS.

Ia selepas tindakan bekas pemimpin UMNO itu diumumkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada sidang media di Parlimen hari ini.

Speaker DUN Melaka Datuk Ibrahim Durum, berkata setakat ini perkara itu hanya diketahui melalui media dan tiada sebarang pemakluman rasmi diterima dari Muhammad Jailani digantung keahlian dalam UMNO selama enam tahun.

“Setakat ini saya belum sebarang pemakluman rasmi baik daripada PAS mahupun Muhammad Jailani sendiri.

“Apabila sudah terima nanti, saya akan mengadakan mesyuarat khas dengan beberapa pihak termasuk Pegawai Undang-Undang Negeri,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Ibrahim berkata, beliau turut akan menyemak sama ada tindakan Muhamad Jailani menyertai parti pembangkang itu terkait dengan Akta Anti Lompat Parti yang diluluskan pada Persidangan DUN pada 31 Julai tahun lalu.

“Saya dimaklumkan Jailani sertai PAS pada Jun tahun lalu iaitu sebulan sebelum Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 itu dibentang dan diluluskan.

“Namun pengumuman mengenainya dibuat hari ini dan bagi saya, pengumuman itu mungkin cubaan untuk mengelak daripada sebarang tindakan RUU berkenaan,” jelasnya lagi.

Takiyuddin dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima permohonan Muhamad Jailani pada tarikh sama sebelum DUN Melaka membuat pindaan Akta Anti Lompat Parti pada Julai tahun lalu.

Muhamad Jailani sebelum ini didesak meninggalkan UMNO dan menyerahkan kerusi DUN Rembia disandang berikutan tindakannya menyertai aktiviti parti pembangkang sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau yang kini menjadi Pengerusi NGO Muafakat Nasional (MN) Melaka digantung keahliannya oleh UMNO selama enam tahun.

Ia susulan didakwa melakukan sabotaj terhadap parti kerana dengan sengaja hadir pada majlis pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Bakri, Johor. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top