Brussels: Pemimpin dunia menyuarakan rasa terkejut dan jijik terhadap insiden tembakan beramai-ramai pada Ahad yang mengorbankan 16 nyawa di Pantai Bondi, Sydney.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata, serangan itu ‘mengejutkan dan menyedihkan’, yang juga disifatkan polis sebagai insiden pengganas, adalah sukar difahami selepas penyerang melepaskan tembakan ke arah perhimpunan meraikan perayaan Yahudi, Hanukkah.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyifatkan, kejadian itu sebagai serangan antisemitik.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio pula berkata, antisemitisme tidak mempunyai tempat di dunia ini dan menyatakan doa bersama mangsa, komuniti Yahudi serta rakyat Australia.
Di United Kingdom (UK) Raja Charles III berkata, baginda terkejut dengan serangan pengganas antisemitik yang mengerikan itu, manakala Perdana Menteri UK, Keir Starmer menyifatkannya, sebagai amat menyedihkan.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres berkata, beliau amat terkejut dengan serangan maut kejam itu pada hari pertama Hanukkah.
Ketua Kesatuan Eropah (EU), Ursula von der Leyen berkata, Eropah berdiri bersama Australia dan komuniti Yahudi di seluruh dunia menentang keganasan dan antisemitisme.
Sementara itu, Kementerian luar Palestin ikut serta mengecam kejadian tembakan itu dan menyatakan solidariti penuh dengan Australia.
Bagaimanapun, jurucakap kementerian luar Iran, Esmaeil Baqaei juga mengecam, serangan berkenaan dengan menyatakan keganasan dan pembunuhan manusia ditolak di mana sahaja ia berlaku.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni dan Menteri Luar Jerman, Johann Wadephul, mengecam serangan itu sebagai perbuatan kebencian dan keganasan antisemitik.
Turut menyatakan solidaritinya, Perdana Menteri Kanada, Mark Carney berkata, negaranya berdiri bersama rakyat Australia dan orang Yahudi di seluruh dunia serta bertekad tidak tunduk kepada keganasan atau kebencian.
© New Straits Times Press (M) Bhd






