Shaoxing: Armand Duplantis terus mendominasi acara lompat bergalah tetapi gagal memperbaharui rekod dunianya manakala atlet Amerika Syarikat (AS), Cordell Tinch, melonjak sebagai pelari keempat terpantas sepanjang zaman dalam acara 110 meter lari berpagar di Siri Liga Berlian Shanghai-Keqiao.
Juara Olimpik dan dunia, Duplantis, mudah menjuarai saingan dengan catatan 6.11 meter (m) mengatasi Emmanouil Karalis dari Greece (6.01m) – namun percubaannya pada ketinggian 6.28m, satu sentimeter melepasi rekod dunianya yang dibuat Februari lalu, tidak berjaya.
“Lompatan itu tidak terasa begitu baik, dan rentak larian juga tidak sempurna,” kata bintang Sweden itu.
“Tetapi untuk membuat percubaan yang baik walaupun ketika tidak berada di tahap terbaik, ia petanda yang sangat baik.”
Tinch pula mengejutkan ramai apabila memadam rekod kejohanan milik Liu Xiang menerusi catatan 12.87 saat (s) – menyamai rekod peribadi Dayron Robles dan hanya di belakang Aries Merritt, Grant Holloway dan Devon Allen dalam senarai sepanjang zaman.
“Saya tahu saya akan berlari laju, tapi tak sangka ia sepantas 12.8s,” kata Tinch yang sebelum ini menewaskan Holloway di Xiamen minggu lalu.
Dalam acara 100 meter lelaki, pelari Afrika Selatan Akani Simbine mengulangi kejayaan di Xiamen apabila menewaskan pemenang perak Olimpik, Kishane Thompson (9.99s) dengan catatan 9.98s.
Letsile Tebogo dari Botswana menamatkan saingan di tempat ketiga (10.03s).
Karsten Warholm dari Norway pula membuktikan dia masih unggul apabila menang mudah acara 400m lari berpagar dengan catatan 47.28 saat walaupun mengakui terlanggar beberapa pagar.
“Saya mahu gunakan setiap peluang untuk hantar isyarat. Hari ini, mesejnya adalah potensi saya sangat tinggi jika saya perkemaskan larian,” kata juara dunia itu.
Dalam acara 400m, pelari AS, Christopher Bailey menewaskan Bayapo Ndori dari Botswana di garisan penamat dengan masa 44.17s.
Juara Olimpik, Quincy Hall, sekadar menamatkan perlumbaan di tempat terakhir dalam penampilan sulung musim ini.
Anavia Battle dari AS, yang memegang catatan terpantas 100m wanita tahun ini, meraih kemenangan kedua berturut-turut dalam acara 200m dengan masa 22.38s.
Rhasidat Adeleke dari Ireland di tempat kedua (22.72s).
Grace Stark pula menjuarai 100m lari berpagar wanita (12.42s), namun jauh daripada catatan luar biasa 12.17s oleh Masai Russell di Miami, yang juga catatan kedua terpantas dalam sejarah.
Dalam acara jarak jauh, Berihu Aregawi hanya mendahului rakan senegara, Kuma Girma, di garisan penamat dalam 5,000m lelaki dengan catatan 12:50.45s.
Mezgebu Sime melengkapkan podium untuk kemenangan bersih Ethiopia.
Tsige Duguma pula mempamerkan larian dominan untuk menang acara 800m wanita dengan catatan terbaik musim ini, 1:56.64s, lebih seminit di depan Sarah Billings dari Australia.
Dalam acara lontar peluru wanita, jaguh AS Chase Jackson melepasi 20.54m untuk meraih kemenangan menjelang saingan kejuaraan dunia di Tokyo, September ini.
Elina Tzengko dari Greece pula menjuarai lembing wanita dengan balingan sejauh 64.90m.
Yaroslava Mahuchikh dari Ukraine, juara Olimpik dan dunia, meneruskan rentak kemenangan dengan catatan 2.00m dalam lompat tinggi – kemenangan ketujuh berturut-turut dalam Liga Berlian
Ethiopia turut menguasai acara 3,000m lari berhalangan lelaki menerusi Abrham Sime (8:07.92s), manakala Pedro Pichardo dari Portugal menjuarai acara lompat kijang dengan jarak 17.03m.
© New Straits Times Press (M) Bhd