PENYERANG Colombia, Jhon Duran akhirnya menyertai kelab Liga Pro Saudi, Al Nassr, pasukan Cristiano Ronaldo selepas dua tahun bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Aston Villa.
Duran bergelut untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama di Villa sejak menyertai kelab kendalian Unai Emery itu dari Chicago Fire pada 2023.
Begitupun dia berjaya memberikan impak apabila menjaringkan 12 gol dalam 29 perlawanan untuk Villa musim ini dengan majoriti bermula dari bangku simpanan.
Pemain berusia 21 tahun itu menyertai Al Nassr yang kini berada di tempat tangga ketiga dalam Liga Pro Saudi.
Selain Ronaldo, Duran akan bermain bersama bekas bintang EPL lain seperti Sadio Mane dan Aymeric Laporte.
Villa ketika mengesahkan perpindahan itu berkata: “Aston Villa mengesahkan bahawa Jhon Durán telah menyertai Al-Nassr dengan bayaran yang tidak didedahkan.
“Penyerang berpindah ke Arab Saudi selepas menjaringkan 12 gol untuk Villa musim ini, termasuk gol kemenangan menentang Bayern Munich dalam Liga Juara-Juara.
“Kami di Aston Villa mengucapkan selamat maju jaya kepada Jhon dalam perjalanan karier profesionalnya.”
Sebagai rekod, Duran hanya menandatangani kontrak baharu dengan Villa pada Oktober.
Berikutan pemergiannya, skuad Emery telah dikaitkan dengan perpindahan lewat jendela untuk Marcus Rashford.
Penyerang Manchester United itu sebelum ini telah menyatakan keinginannya untuk mencari cabaran baharu selepas tidak berada dalam skuad United sejak 12 Disember lalu.
Villa dilaporkan berminat untuk membawa Rashford ke Midlands dalam perjanjian sebelum tarikh akhir Isnin, namun penyerang England itu juga dikhabarkan sedang menunggu perpindahan ke Barcelona.
Pemergian Duran menyaksikan Ollie Watkins yang menjadi sasaran Arsenal, kini merupakan penyerang utama Villa yang tinggal di kelab itu.
Bagaimanapun Villa menolak tawaran itu serta-merta apabila Emery bertegas bahawa Watkins akan kekal di kelab tersebut.
“Saya tidak mahu menjualnya. Ia adalah berita baik untuk kelab apabila mendapat tawaran daripada kelab lain.
”Biarpun begitu kami mahu mengekalkan objektif pasukan melalui pemain yang kami ada dalam skuad.
“Setiap pemain boleh berada dalam pasaran jika mereka bagus untuk pemain dan kelab. Jadi untuk mendapatkan Watkins, kami akan menuntut kerana dia adalah penyerang kami,” ujar Emery.
Sebagai rekod, Villa menandatangani penyerang Donyell Malen dari Borussia Dortmund semasa jendela yang dilihat sebagai pengganti Moussa Diaby, yang menyertai Al-Ittihad pada musim panas.