Dybala buka 'akaun' gol, Roma daki tangga kedua Serie A

Dybala buka 'akaun' gol, Roma daki tangga kedua Serie A


Milan: Paulo Dybala akhirnya menamatkan kemarau jaringan apabila meledak gol pertamanya musim ini sekali gus membantu Roma mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Sassuolo dalam saingan Serie A, awal pagi tadi.

Jaringan tunggal penyerang Argentina itu hadir pada minit ke-16 selepas beliau terlebih dahulu mencipta peluang buat Bryan Cristante, namun percubaan awal rakan sepasukannya ditepis penjaga gol Arijanet Muric. Bola muntah itu pantas disambar Dybala untuk disudahkan ke gawang kosong.

Gol berkenaan bukan sahaja memastikan tiga mata penting buat Roma, malah menjadi detik kelegaan buat Dybala yang mencatat jaringan ke-130 dalam karier Serie A, namun yang pertama daripada situasi permainan terbuka sejak Disember tahun lalu.

“Kami tahu kemenangan boleh bawa kami ke puncak liga, tapi kami tak mahu terlalu terbawa-bawa. Musim masih panjang dan banyak cabaran menanti.

“Tiga mata ini sangat penting untuk kami,” kata Dybala selepas perlawanan.

Di bawah kendalian Gian Piero Gasperini yang mengambil alih pasukan pada Julai lalu, Roma menunjukkan keteguhan luar biasa di benteng pertahanan hanya bolos tiga kali dalam lapan perlawanan, paling sedikit berbanding mana-mana pasukan lain musim ini.

Namun, keampuhan itu datang dengan harga mahal apabila bahagian serangan mereka masih tumpul. Roma sekadar menjaringkan lapan gol, jumlah terendah dalam kelompok lima teratas liga.

Kemenangan ke atas Sassuolo menyaksikan Roma mengumpul 18 mata, menyamai pungutan Napoli di tangga teratas tetapi berada di tempat kedua kerana perbezaan jaringan.

Napoli sebelum itu menewaskan Inter Milan 3-1 untuk kekal sebagai pendahulu.

Menariknya, sekiranya dua pasukan teratas menamatkan musim dengan mata sama, peraturan baharu Serie A menetapkan gelaran juara akan ditentukan menerusi perlawanan play-off iaitu sesuatu yang belum pernah berlaku dalam dua dekad terakhir.

Gasperini turut memuji semangat juang anak buahnya selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut minggu lalu termasuk di tangan Inter Milan dalam liga dan Viktoria Plzen dalam saingan Liga Europa.

“Saya sangat berpuas hati kerana pemain memberikan reaksi positif selepas minggu yang sukar. Sekarang kami perlu menang di laman sendiri. Penyokong kami layak diraikan,” kata jurulatih itu.

Sementara itu, AC Milan yang sekadar seri 2-2 menentang Pisa jatuh ke tangga ketiga dengan 17 mata, manakala Fiorentina terus terperosok di kedudukan ke-18 selepas diikat Bologna 2-2 walaupun memiliki dua sepakan penalti pada minit akhir permainan.

Roma kini kembali dalam landasan perebutan Scudetto buat kali pertama sejak dua dekad lalu dan jika Dybala terus menemui sentuhan berbisa, kota Rom mungkin akan kembali bergelora dengan impian kejuaraan yang lama dinantikan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top