sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Skuad e-sukan negara optimis mampu meraih pingat emas pada Sukan SEA Thailand 2025 selepas melihat prestasi Selangor Red Giants (SRG.OG) yang cukup cemerlang dalam saingan Liga Profesional Mobile Legends Bang Bang Malaysia (MPL MY) Musim ke-15.
Presiden Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF), Muhammad Naim Al Amin berkata, pihaknya akan melakukan proses pemilihan yang lebih teliti menjelang temasya itu dengan penekanan bukan sahaja kepada prestasi semasa tetapi juga komitmen jangka panjang menerusi beberapa siri bootcamp yang bakal dilaksanakan.
Jelasnya, kekuatan pasukan seperti yang dipamerkan oleh SRG dalam saingan MPL baru-baru ini menunjukkan potensi besar untuk muncul juara di SEA Thailand nanti.
Justeru, mereka akan melakukan pemilihan pemain secara lebih sistematik dan menyeluruh yang merangkumi pelbagai aspek.
“Kita tengok daripada segi permainan baru-baru ini di MPL, boleh lihat pasukan SRG memang cukup kuat, cuma mereka ada pemain campuran (import).
“Kita nak hantar dan meneruskan dengan kekuatan semua pemain tempatan serta campur dengan beberapa pemain daripada pasukan lain. Perkara ini saya ada bercakap dengan beberapa orang,” katanya.
Tambahnya, seramai 20 pemain akan disenaraikan dalam senarai panjang sebelum dikecilkan kepada 10 dan akhirnya hanya enam pemain terbaik yang akan dipilih mewakili negara ke temasya berprestij itu.
“Kita campur dengan pemain lain dan disebabkan itu, proses pemilihan akan mengikut pelbagai kriteria yang ditetapkan termasuk disiplin, komitmen dan prestasi sepanjang bootcamp, bukan hanya berdasarkan permainan semasa,” katanya.
Melihat kepada perancangan berkenaan, perkara itu dilihat boleh dilaksanakan berdasarkan rekod semasa SRG.OG yang cukup kuat dan berjaya mencipta rekod baharu dengan kejuaraan hatrik MPL.
Pada Sukan SEA Kemboja 2023, pasukan negara membawa pulang dua pingat perak menerusi acara berpasukan Attack Online 2 serta MLBB lelaki, selain dua gangsa yang hadir daripada PUBG berpasukan lelaki dan MLBB wanita.
© New Straits Times Press (M) Bhd