Edozie buat Arsenal menangis

Edozie buat Arsenal menangis


Wolverhampton, England: Pemain remaja, Tom Edozie menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-94 dalam penampilan sulungnya ketika Arsenal melepaskan kelebihan dua gol untuk seri 2-2 menentang pasukan tercorot, Wolverhampton Wanderers, awal pagi tadi sekali gus mensia-siakan peluang keemasan untuk menjarakkan diri dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Arsenal kini mengumpul 58 mata daripada 27 perlawanan, lima mata di depan Manchester City di tempat kedua, namun telah bermain satu perlawanan lebih.

Wolves pula kekal dengan 10 mata daripada 27 perlawanan, satu mata di belakang rekod terburuk sepanjang zaman EPL yang dipegang Derby County (11 mata).

Bukayo Saka meraikan kontrak baharu lima tahunnya dengan menjaringkan gol pertama selepas 16 perlawanan tanpa jaringan di West Midlands, sebelum Piero Hincapie menggandakan kelebihan Arsenal 10 minit selepas separuh masa kedua bermula.

Namun, Wolves bangkit apabila Hugo Bueno meledak gol menerusi lencongan cantik dari luar kotak penalti, sebelum Edozie melepaskan rembatan yang terkena kaki Calafiori dan tiang gol lalu menerjah jaring untuk menyamakan kedudukan.

Arsenal kini hanya menang tiga daripada lapan perlawanan terakhir liga.

“Kecewa. Itu saja yang boleh saya katakan,” kata Saka kepada BBC. “Perbezaan prestasi antara separuh masa pertama dan kedua sangat ketara. Kami menurunkan standard permainan dan dihukum kerana itu.

“Kami perlu fokus kepada diri sendiri, tingkatkan standard dan prestasi. Segalanya masih dalam kawalan kami.”

Perlawanan ini diawalkan sebulan lebih awal berikutan Arsenal akan beraksi di final Piala Liga pada 21 Mac menentang Manchester City kendalian Pep Guardiola.

Arsenal membuka jaringan seawal minit keempat apabila Saka menamatkan kemarau gol terpanjangnya bersama kelab. Hantaran lambung tepat Declan Rice disambut Saka dengan tandukan dari jarak dekat.

Gol kedua hadir pada minit ke-55 apabila Hincapie menyambar hantaran Gabriel dan percubaannya melepasi penjaga gol, Jose Sa.

Wolves merapatkan jurang apabila Bueno diberi ruang di luar kotak penalti lalu melepaskan rembatan lencong ke penjuru atas gawang untuk gol pertamanya di EPL dan pada minit ke-94, Edozie, 19 tahun, merembat rendah selepas David Raya gagal mengawal kemas hantaran lintang, dengan bola terkena Calafiori serta palang sebelum masuk ke gawang. Gol itu pada awalnya dikreditkan sebagai gol sendiri.

“Bola jatuh kepada saya dan saya cuba pastikan ia kekal rendah dan dirembat sekuat mungkin. Mereka tak dapat menghalangnya, jadi itu gol saya,” kata Edozie.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top