Ee Yi jawab spekulasi, sah teruskan karier bersama FELET

Ee Yi jawab spekulasi, sah teruskan karier bersama FELET


Teo Ee Yi menyertai jenama tempatan FELET.

PEMAIN beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi akhirnya tampil menjelaskan spekulasi yang timbul susulan pengumuman penamatan kerjasamanya dengan Li-Ning baru-baru ini.

Pengumuman yang dimuat naik di media sosial itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat, termasuk andaian beliau bakal bersara atau berpisah dengan gandingannya, Ong Yew Sin.

Bagaimanapun, Ee Yi menafikan semua spekulasi berkenaan dan mengesahkan ia hanya pertukaran penaja apabila beliau kini bersama jenama tempatan, FELET.

“Saya masih memilih untuk terus mengejar impian dan mahu menikmati cabaran di gelanggang. Ini hanya pertukaran penaja dan tidak menjejaskan perancangan kerjaya saya,” katanya.

Menurut pemain berusia 32 tahun itu, fokusnya kini kekal untuk bersaing di peringkat tertinggi selain mengekalkan prestasi bersama pasangan sedia ada.

Difahamkan, keputusan menyertai FELET turut dipengaruhi faktor sentimental apabila kedua-duanya berkongsi latar belakang sama di Muar, Johor.

Malah, beliau pernah menggunakan raket jenama itu sejak di peringkat awal pembabitannya dalam badminton, sekali gus menjadikan kerjasama ini sebagai satu bentuk ‘kepulangan’.

Dalam masa sama, Ee Yi berharap dapat menggunakan platform dimiliki untuk mempromosikan produk tempatan ke pentas antarabangsa.

“Saya bangga dapat bersama jenama tempatan dan berharap dapat membantu mengangkat produk ‘Buatan Malaysia’ ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Sebagai antara jenama badminton tempatan yang semakin mendapat tempat, FELET kini turut menampilkan beberapa pemain berprofil tinggi termasuk Tan Wee Kiong, Goh V Shem serta beberapa nama antarabangsa lain.

Ringkasan AI

  • Teo Ee Yi menjelaskan penamatan kerjasama dengan Li-Ning hanyalah pertukaran penaja.
  • Ee Yi kini bersama jenama tempatan FELET dan menafikan sebarang spekulasi bersara atau berpisah.
  • Fokusnya kekal untuk bersaing di peringkat tertinggi dan mengekalkan prestasi bersama pasangan sedia ada.
  • Kerjasama dengan FELET dipengaruhi faktor sentimental sebab berkongsi latar belakang sama di Muar.
  • Ee Yi berharap dapat mempromosikan produk tempatan ke pentas antarabangsa dengan kerjasama ini.



Source link

OR

Scroll to Top