norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Filem animasi Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) kini mencatat kutipan ‘box office’ sebanyak RM15.3 juta dalam tempoh empat hari termasuk tayangan awal sejak 22 Mei lalu.
Diarahkan Usamah Zaid Yasin, sekuel EATM2 kali ini mendapat tayangan di 161 pawagam di seluruh negara, termasuk Brunei Darussalam yang berjaya menarik perhatian ramai.
Usamah yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) WAU Animation berkata, dia amat bersyukur dengan sokongan baik peminat dan penonton animasi Ejen Ali yang disifatkan sangat luar biasa.
“Saya dan pasukan produksi EATM2 berasa amat terharu dan gembira dengan hasil kutipan ini, selain seronok membaca komen dan melihat maklum balas penonton dengan ‘rating star’ diberikan.
“Semua itu sangat bermakna buat kami dan lebih menggalakkan kami sebagai pengkarya untuk terus mengusahakan naskhah terbaharu Ejen Ali yang lebih baik buat peminat serta penonton,” katanya dalam satu kenyataan.
Menerusi sambutan meledak diterima berkenaan dijangkakan EATM2 akan mencatat angka penonton di pawagam lebih tinggi ketika musim cuti sekolah yang bermula pada 29 Mei ini.
Difahamkan juga tiket kini terjual pantas di pelbagai lokasi, termasuk beberapa pawagam juga didapati mula menambah jadual sesi tayangan bagi memenuhi permintaan ramai.
EATM2 dibawakan WAU Animation dengan kerjasama Primeworks Studios (PWS) dan Komet Productions menyasarkan kutipan ‘box office’ ingin diperoleh sebanyak RM60 juta.
Ia susulan mengambil kira kejayaan tayangan filem Ejen Ali The Movie pertama di pawagam kira-kira enam tahun lalu iaitu 2019 yang mencatat kutipan pecah panggung lebih RM30 juta.
Bagi penggemar Ejen Ali, siri animasi ini pernah ditayangkan di TV3 sebaik diperkenalkan pada 2016 dan kisahnya berkembang menjadi fenomena dengan tiga musim siri yang mendapat sambutan hangat.
Kisah EATM2 memaparkan perjalanan Ali yang dipilih sebagai perintis bagi misi berisiko tinggi di bawah Satria iaitu program elit menggunakan sut berteknologi tinggi dengan bantuan kecerdasan buatan (AI).
Namun, misi itu menjadi kompleks apabila Rizwan memohon bantuan Ali untuk menjejak dalang sebenar di sebalik siri ancaman yang menggugat keselamatan Cyberaya.
Pada masa sama, Neonimus, seorang penggodam misteri yang menyimpan dendam terhadap Ali, muncul kembali, namun niat sebenarnya mencetuskan kekacauan menjadi tanda tanya?
Bagaimanapun, dalam dunia penuh tipu muslihat dan bahaya itu menjadikan setiap keputusan diambil Ali adalah penentu, bukan hanya untuk dirinya, tetapi masa depan seluruh kota Cyberaya.
© New Straits Times Press (M) Bhd