Isu pekerjaan gig semakin bahang diperkatakan kerana semakin ramai rakyat Malaysia terbabit di dalam pekerjaan ini. Malah, terdapat jangkaan penyelidik bahawa angka jumlah pekerja gig di Malaysia kini sudah mencecah juta orang.
Ikuti temubual Wartawan Harian Metro, HAFIZ ITHNIN bersama Menteri Sumber Manusia, STEVEN SIM CHEE KEONG untuk mengulas pelbagai sudut mengenai pekerjaan gig tempatan.
Kajian Pengesanan Graduan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi mendapati graduan yang bekerja sendiri menunjukkan trend peningkatan. Apakah ia bakal mengubah landskap pekerjaan pada masa depan?
Peningkatan graduan yang memilih untuk bekerja sendiri, termasuk dalam industri gig, adalah sebahagian daripada evolusi pasaran kerja global terutama pasca Covid-19. Ini sebagai satu petanda bahawa tenaga kerja Malaysia semakin cenderung ke arah ekonomi digital dan fleksibiliti pekerjaan. Dalam masa yang sama, kita juga perlu memastikan bahawa pekerjaan gig menawarkan keterjaminan ekonomi kepada pekerja, termasuk perlindungan sosial, pendapatan yang adil, dan akses kepada latihan kemahiran berterusan.
Disebabkan itu, saya mengambil inisiatif untuk memperkenalkan undang-undang baharu yang dijangka akan dibentangkan tahun ini bagi memperkasa lebih 1.12 juga pekerja gig dengan memberikan perlindungan hak dan memastikan keselamatan sosial pekerja gig terbela. Sehingga kini Kesuma melakukan 20 sesi libat urus dan mesyuarat bersama pemegang taruh membabitkan lebih 3,000 peserta secara bersemuka dan dalam talian termasuklah penyedia platform, persatuan pekerja gig, pihak majikan, agensi-agensi kerajaan dan swasta serta banyak lagi dalam menyediakan perundangan itu.
Sentimen masyarakat melihat pekerjaan GIG hanya tertumpu kepada e-hailing. Bagaimana persepsi atau sentimen ini perlu diubah?
Persepsi yang menyamaratakan ekonomi gig hanya kepada e-hailing atau penghantaran makanan adalah satu kekeliruan yang perlu diperbetulkan. Hakikatnya, ekonomi gig merangkumi pelbagai sektor lain seperti reka bentuk grafik, pemasaran digital, IT, pembangunan perisian, pengajaran dalam talian, penulisan bebas, dan banyak lagi yang dilakukan secara sambilan. Laporan oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan beberapa institusi penyelidikan tempatan mendapati bahawa hanya sekitar 40 peratus daripada responden memahami keluasan sebenar ekonomi gig ini. Untuk mengubah persepsi ini, kita perlu meningkatkan kesedaran masyarakat melalui kempen pendidikan serta memperkenalkan lebih banyak inisiatif bagi menyokong pekerja gig dalam pelbagai sektor.
Kerajaan, melalui agensi seperti MDEC dan KESUMA melalui agensi-agensinya melancarkan seminar, bengkel, dan kempen media untuk mendidik masyarakat mengenai pelbagai peluang dalam ekonomi gig. Latihan ini bertujuan untuk membekalkan peserta dengan kemahiran strategik dan teknikal untuk mengendalikan perniagaan digital dengan lebih berkesan. TalentCorp juga telah melancarkan inisiatif seperti program TalentCorp 4IR, yang menumpukan kepada keperluan Industri 4.0.
Pemahaman perlu ditekankan dari sudut kadar gaji pekerja di Malaysia yang kekal tidak bertumbuh dengan signifikan. Adakah faktor gaji menyebabkan perkembangan pekerja gig di Malaysia?
Ramai graduan dan individu muda memilih pekerjaan gig kerana mereka melihatnya sebagai satu peluang untuk memperoleh pendapatan yang lebih tinggi dengan waktu kerja yang fleksibel. Namun adalah penting untuk memastikan bahawa pilihan untuk bekerja dalam sektor gig tidak semata-mata adalah pilihan kerana ketiadaan peluang pekerjaan tetap yang berkualiti.
Seiring dengan itu, kerajaan juga memperkenalkan dasar gaji progresif sebagai satu inisiatif strategik. Dasar ini bertujuan untuk memastikan bahawa kadar gaji dinaikkan secara berperingkat mengikut peningkatan kemahiran, pengalaman, dan produktiviti. Melalui dasar gaji progresif, pekerja gig bukan sahaja dijangka mendapat pendapatan yang lebih mampan, tetapi juga digalakkan untuk meningkatkan kemahiran melalui latihan dan pembangunan diri.
Wajarkah kerajaan meletakkan kadar upah lantai untuk semua sektor yang membabitkan pekerja gig bagi memastikan keterjaminan pendapatan golongan ini?
Kajian mengenai Rang Undang-Undang (RUU) pekerja gig sedang dalam fasa akhir perbincangan dengan pelbagai pemegang taruh, termasuk penyedia platform, kesatuan pekerja, dan pakar industri. Kita mahu memastikan bahawa RUU ini bersifat menyeluruh dan mampu melindungi pekerja gig dan pada masa yang sama tidak membantutkan pertumbuhan ekonomi sektor yang terbabit.
Mengenai kadar upah lantai, dalam RUU Pekerja gig akan ada mekanisma majlis perundingan yang dianggotai secara tripartite bagi membincangkan perkara ini.
Apakah yang menjadi faktor utama kerajaan Madani perlu melindungi pekerja gig?
Kerajaan Madani meletakkan keadilan sosial sebagai asas kepada setiap dasar yang diperkenalkan. Dalam konteks ini perlindungan pekerja gig adalah keutamaan dalam memastikan keadilan sosial dan kestabilan ekonomi di tengah landskap pekerjaan yang semakin fleksibel. Saya menyedari bahawa walaupun pekerja gig menikmati kelebihan dari segi fleksibiliti, mereka juga terdedah kepada risiko ketidaktentuan pendapatan dan kekurangan perlindungan sosial seperti caruman perkeso, insurans kesihatan, dan skim keselamatan sosial yang lain.
Ketiadaan akses yang mencukupi kepada latihan peningkatan kemahiran dan peluang pembangunan kerjaya boleh mengakibatkan kekurangan mobiliti kerjaya serta mengekalkan status mereka dalam pekerjaan berpendapatan rendah.
© New Straits Times Press (M) Bhd