‘Ekor Harimau’ diseru banjiri Bukit Jalil

‘Ekor Harimau’ diseru banjiri Bukit Jalil


PARA peminat bola sepak seluruh negara diseru untuk membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bagi memberi sokongan padu buat skuad Harimau Malaya yang akan berdepan Vietnam dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 Jun depan.

Seruan itu dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya, Rob Friend yang menyifatkan pertemuan tersebut sebagai satu detik terbaik buat seluruh rakyat Malaysia untuk memberi sokongan penuh kepada para pemain negara di hadapan pasukan lawan.

“Kami teruja untuk menyambut kehadiran Vietnam ke Bukit Jalil bagi satu perlawanan yang dijangka penuh debaran dan emosi.

“Ini bukan sekadar aksi kelayakan, ini adalah detik untuk rakyat Malaysia bersatu di belakang Harimau Malaya dan menunjukkan kekuatan semangat kebangsaan kita,” katanya menerusi catatan di Facebook pada Isnin.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa SNBJ bakal menjadi venue untuk perlawanan kedua Kelayakan Piala Asia menentang Vietnam.

Friend menjelaskan bahawa barisan staf pasukan kebangsaan giat merencana sesuatu yang terbaik bagi membentuk skuad terkuat menjelang aksi itu dan teruja menanti kehadiran penyokong.

“Kami sedang membina sesuatu yang istimewa. Kami tak sabar untuk melihat para penyokong memenuhi Bukit Jalil dan menjadikannya malam yang akan dikenang selamanya,” katanya.

Aksi Malaysia menentang Vietnam akan berlangsung di SNBJ pada 10 Jun depan, namun maklumat mengenai jualan tiket masih belum diumumkan oleh FAM.



Source link

OR

Scroll to Top