Ekosistem bola sepak negara terkesan jika pasukan ‘hardcore’ lenyap dari Liga-M

Ekosistem bola sepak negara terkesan jika pasukan ‘hardcore’ lenyap dari Liga-M


Tonggak Perak, Wan Zack Haikal Wan Noor (dua dari kiri) cuba melepasi pertahanan Pahang, Adam Nor Azlin semasa aksi Liga Super pada 12 April lalu. Foto: Perak Football Club

MASA depan bola sepak negara dijangka suram sekiranya kemelut yang melanda beberapa kelab gergasi Liga Malaysia (Liga-M) pada ketika ini tidak diselesaikan segera.

Pemerhati bola sepak tempatan, Zakaria Rahim berkata, pasukan seperti Sri Pahang FC, Kedah Darul Aman FC, Perak FC dan Kelantan Darul Naim FC bukan sekadar kelab bola sepak, sebaliknya lambang sejarah, tradisi dan kebanggaan penyokong setia tanah air.

Jelas Zakaria lagi, impaknya akan turut dirasai menyeluruh ekosistem bola sepak termasuk pemain, jurulatih, pegawai pasukan dan peniaga kecil yang bergantung kepada aktiviti perlawanan sekiranya kelab-kelab yang digelar sebagai ‘hardcore’ ini lenyap dari saingan Liga-M.

“Jika benar pasukan-pasukan ini tidak lagi bersaing di Liga Super, saya khuatir bola sepak kita akan terus merosot.

“Matlamat Liga-M adalah untuk melahirkan pemain berbakat dan menggembirakan penyokong. Namun, bayangkanlah jika kelab-kelab besar seperti Pahang, Perak dan Kedah sudah tidak bertanding, tentu ramai yang akan terjejas.

“Peluang pemain juga akan semakin mengecil dan industri bola sepak kita lambat-laun akan pudar tanpa pasukan yang memiliki kelompok penyokong besar ini. Sudah pasti ia kerugian besar,” katanya.

Dalam perkembangan sama, bekas pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim turut menyeru semua pihak agar berganding bahu mencari penyelesaian terbaik demi memastikan kelab-kelab tersebut terus bersaing di pentas Liga Super.

Beliau turut mengingatkan pemain supaya memahami keadaan kewangan semasa yang membelenggu kelab, serta bersedia untuk berunding soal gaji agar disesuaikan dengan kemampuan sebenar pasukan, demi kelangsungan bersama.

“Kita faham kesulitan yang dihadapi kelab-kelab ini, tidak banyak yang dapat saya ulas. Namun, saya tetap berharap ada jalan keluar supaya mereka dapat terus beraksi.

“Semua pihak perlu saling membantu, termasuk mencari penaja yang boleh menyelesaikan kemelut ini. Berbelanjalah mengikut kemampuan, supaya kelab-kelab kita tidak terus tenggelam,” ujar beliau.



Source link

OR

Scroll to Top