PUTRAJAYA – Agensi Penguatkusaan Maritim Malaysia (APMM) meminta penduduk negara ini sentiasa berwaspada dengan situasi laut dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang telah bermula dan dijangka berakhir Mac tahun depan.
Ketua Pengarah APMM, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, para nelayan, pelancong, dan pengusaha bot dinasihatkan agar menangguhkan terlebih dahulu sebarang aktiviti di laut buat masa ini.
Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh dijangka mencapai tahap kemuncak pada hujung November ini hingga Januari tahun depan, termasuk di Sabah dan Sarawak.
Menurut beliau, dalam usaha mengurangkan kemalangan di laut, APMM telah menyampaikan maklumat dan melaksanakan 200 program seperti pencegahan dalam usaha mengelakkan berlakunya kemalangan nyawa di laut.
“Seramai 1,172 individu terlibat dalam kejadian kemalangan di laut sepanjang bulan Januari hingga Oktober tahun ini dengan 53 dilaporkan meninggal dunia dan 24 lagi masih tidak ditemui.
“Kita harap tahun ini insiden berkait kemalangan laut berkurangan dengan memberi amaran lebih awal dan mendidik masyarakat tentang aktiviti serta keperluan yang perlu dilakukan,” katanya.
Beliau berkata dalam dalam sidang media selepas menghadiri program APMM bersama media di Kelab Menembak Sasaran Shahpadu yang dihadiri lebih 80 pengamal media tempatan, di sini hari ini.
Antara pendedahan diberikan seperti pemakaian jaket keselamatan ketika berada di laut termasuk membawa personal locator beacon (PLB) atau Suar Pencari Peribadi.
Orang ramai khususnya para nelayan atau pengusaha bot perlu memastikan kenderaan yang digunakan dalam keadaan selamat serta minyak yang mencukupi.
Mohd Rosli menambah, APMM bukan sahaja memantau di laut malah turut memberikan perkhidmatan dalam konteks di udara kepada orang ramai.
“Kita berada di darat ini melibatkan pasukan udara banyak membantu menyampaikan bekalan makanan serta pelbagai program di kawasan yang sukar untuk capaian seperti bot atau aset darat,” ujarnya.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata, ramalan jangka panjang menunjukkan taburan hujan diterima akan lebih 20 hingga 40 peratus berbanding tahun lalu.
Katanya, sempadan Malaysia-Thailand dijangka menerima hujan lebih sedikit daripada purata taburan hujan, bermula akhir November ini hingga Januari tahun depan manakala Sabah pula diramalkan lebih lama hingga Februari atau Mac.
Mengenai perkembangan aset APMM yang diumumkan dalam Belanjawan 2025, Mohd Rosli berkata, pihaknya sedia mempertingkatkan keupayaan operasinya dengan memperoleh beberapa aset baharu dan membaiki aset sedia ada.
Tambah beliau, bajet itu membolehkan pembiayaan untuk program lanjutan hayat kapal APMM, membolehkan pengubahsuaian penting untuk memanjangkan jangka hayat kapal yang lebih tua.
“Agensi itu kini mengendalikan sebanyak 237 kapal termasuk 166 bot dan 71 kapal. Bagaimanapun, kebanyakan aset ini semakin tua, dengan beberapa lebih 30 hingga 40 tahun, dan memerlukan pembaikan.
“Program lanjutan hayat kapal ini akan memastikan kapal lama dinaik taraf dengan peralatan baharu, enjin dan komponen kritikal lain, dengan berkesan memanjangkan jangka hayat operasinya selama 15 hingga 25 tahun lagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL