Elak jadikan media sosial medan luah aib rumah tangga

Elak jadikan media sosial medan luah aib rumah tangga

Elak jadikan media sosial medan luah aib rumah tangga


DALAM era dunia tanpa sempadan kini, semakin ramai pasangan memilih media sosial sebagai saluran untuk meluahkan perasaan apabila berdepan pergolakan rumah tangga atau salah faham.

Namun, apabila isu peribadi dibawa ke alam maya, ia menjadi tatapan ribuan mata. Bahkan, boleh tersebar ke seluruh dunia dalam sekelip mata.

Kisah yang sepatutnya kekal antara suami dan isteri akhirnya bertukar menjadi bahan perdebatan dan hiburan warga siber.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, tindakan mendedahkan masalah rumah tangga di media sosial haram hukumnya kerana ia membuka aib dan menjejaskan maruah pasangan.

Malah katanya, ia bertentangan dengan ajaran Islam yang menuntut agar keaiban ditutup dan diselesaikan secara tertutup.

“Islam hanya membenarkan pendedahan dalam keadaan tertentu iaitu secara tertutup kepada pihak berautoriti seperti di mahkamah atau pejabat agama bagi tujuan mendapatkan keadilan dan menyelesaikan kezaliman,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel terbaharunya bertajuk Irsyad Hukum Siri ke-938: Pendedahan konflik rumah tangga di media sosial yang disiarkan di laman web rasmi pejabat mufti itu pada Rabu.

PENDEDAHAN aib di media sosial bercanggah dengan ajaran Islam dan boleh menimbulkan fitnah, kemurkaan ALLAH SWT dan keruntukan institusi keluarga. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

Dalam Islam, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, hubungan suami isteri diumpamakan dengan perbandingan yang begitu indah iaitu sebagai ‘pakaian’ antara satu sama lain.

Ia sebagaimana dinyatakan menerusi firman ALLAH SWT: “Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.” (Surah al-Baqarah: 187)

“Perumpamaan ini menunjukkan bahawa peranan pasangan suami isteri seharusnya bertindak sebagai pakaian atau penutup yang menutupi dan melindungi pasangannya daripada pandangan orang lain, menjaga kehormatan dan rahsia rumah tangga.

“Bukannya mendedahkan kekurangan atau aib antara satu sama lain. Bahkan, ALLAH SWT memberi amaran keras kepada mereka yang membuka hal-hal peribadi pasangan kerana perbuatan itu sangat dibenci di sisi-NYA,” katanya.

Namun begitu, andai berlaku kezaliman, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, Islam tidak menafikan hak seseorang untuk menuntut keadilan.

Jelas pejabat mufti itu lagi, syarak menetapkan batas dan saluran yang betul agar tidak timbul kezaliman baharu melalui penyebaran aib secara terbuka.

Pendedahan hanya dibenarkan dalam situasi tertentu yang mempunyai tujuan syarie.

“Terdapat beberapa situasi yang dibenarkan dalam Islam untuk membuka aib, mengumpat atau menceritakan keburukan seseorang apabila mempunyai tujuan yang benar menurut syarak.

“Ia termasuklah untuk menuntut keadilan (mengadu kezaliman), mencegah kemungkaran, meminta fatwa atau nasihat hukum, memberi nasihat atau amaran kepada masyarakat, apabila seseorang terang-terangan lakukan maksiat dan untuk tujan pengenalan (dengan menyebut gelaran buruk yang biasa digunakan untuk mengenalinya),” katanya.

DALAM Islam, hubungan suami isteri diumpamakan dengan perbandingan yang begitu indah iaitu sebagai ‘pakaian’ antara satu sama lain. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

DALAM Islam, hubungan suami isteri diumpamakan dengan perbandingan yang begitu indah iaitu sebagai ‘pakaian’ antara satu sama lain. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

Meskipun demikian, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengingatkan bahawa media sosial bukan medan untuk menuntut hak atau membela diri.

“Apabila masalah peribadi disebarkan secara terbuka di media sosial, ia bukan sahaja gagal menyelesaikan konflik, malah boleh memburukkan keadaan.

“Tindakan ini membuka ruang campur tangan pihak luar yang tidak memahami situasi sebenar, sehingga menimbulkan fitnah dan salah faham.

“Lebih membimbangkan, aib pasangan yang sepatutnya dijaga menjadi tontonan umum dan bahan hiburan,” jelas pejabat mufti itu.

Sedangkan, jelas pejabat mufti itu, Islam mengajar agar setiap permasalahan diselesaikan secara tertutup dan berhemah sama ada dengan berbincang bersama ahli keluarga yang dipercayai, mendapatkan khidmat kaunselor bertauliah atau merujuk kepada pihak berautoriti seperti pejabat agama atau mahkamah syariah.

Justeru, dalam konteks masyarakat hari ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyarankan agar penggunaan media sosial perlu dikawal dengan etika dan adab Islam.

MASYARAKAT perlu dibentuk dengan budaya menasihati secara berhikmah dan menjauhi sikap menjadikan masalah rumah tangga orang lain sebagai bahan perbincangan atau hiburan. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

MASYARAKAT perlu dibentuk dengan budaya menasihati secara berhikmah dan menjauhi sikap menjadikan masalah rumah tangga orang lain sebagai bahan perbincangan atau hiburan. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

“Ia supaya ia tidak menjadi ruang untuk mendedahkan aib atau pertikaian rumah tangga,” katanya.

Pada masa sama, umat Islam dinasihatkan agar tidak menjadikan media sosial sebagai tempat meluah kemarahan atau membuka rahsia rumah tangga.

Masyarakat perlu dibentuk dengan budaya menasihati secara berhikmah dan menjauhi sikap menjadikan masalah rumah tangga orang lain sebagai bahan perbincangan atau hiburan.

“Ingatlah, pendedahan aib di media sosial bercanggah dengan ajaran Islam dan boleh menimbulkan fitnah, kemurkaan ALLAH SWT dan keruntukan institusi keluarga.

“Islam tidak menolak hak menuntut keadilan, tetapi mesti dilakukan melalui saluran yang sah seperti mahkamah syariah atau pejabat agama.

“Oleh itu, setiap Muslim perlu bijak dan berhikmah dalam menangani konflik rumah tangga dengan menjaga maruah diri dan pasangan demi memperoleh keredaan ALLAH serta kesejahteraan masyarakat,” tegasnya.



Source link

OR

Scroll to Top