DALAM keghairahan menganjurkan majlis kenduri kahwin untuk meraikan pengantin dan sebagai menzahirkan kesyukuran, ada dalam kalangan tuan rumah yang tanpa sedar meletakkan beban kepada tetamu.
Masakan tidak, terdapat sebahagian penganjur yang menetapkan syarat tertentu seperti warna tema atau kod pakaian formal dan sebagainya, sedangkan tetamunya bukanlah terdiri daripada golongan berharta.
Situasi itu kadangkala menimbulkan dilema dalam kalangan jemputan khususnya mereka yang berpendapatan rendah atau hidup dalam kesederhanaan.
Adakalanya mereka berkira-kira sama ada mahu hadir dan menanggung kos pakaian baharu itu untuk menepati kehendak tuan rumah atau memilih untuk tidak memenuhi undangan tersebut walaupun hati begitu ingin meraikannya.
Pendakwah terkemuka, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, tuan rumah sememangnya berhak menetapkan peraturan tertentu untuk majlis mereka termasuk soal warna atau tema pakaian.
Mengulas lanjut, Ustaz Azhar menjelaskan, dalam Islam, sebaik-baik contoh dalam mengatur kehidupan termasuk majlis seperti kenduri ialah Nabi Muhammad SAW sendiri.
Menurut beliau, Baginda SAW tidak pernah mengajarkan agar sesuatu majlis perlu dikhususkan kepada kumpulan atau tema tertentu sahaja dan semua lapisan masyarakat diraikan.
“Jadi kalau kita ikut Nabi, sesiapa boleh datang. Tidak kiralah orang kaya atau miskin,” katanya.
Andai majlis dianjurkan terlalu menekankan aspek luaran seperti pakaian bertema, penceramah terkemuka itu mengingatkan, dikhuatiri golongan kurang berkemampuan berasa segan atau enggan hadir, sekali gus menyebabkan keberkatan majlis yang sepatutnya diperoleh menjadi terhalang.

TERDAPAT sebahagian tuan rumah yang menetapkan syarat tertentu seperti warna tema atau kod pakaian formal dan sebagainya dalam kad jemputan kenduri, sedangkan tetamunya bukanlah terdiri daripada golongan berharta. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
“Kadang-kadang keberkatan (majlis) itu pada orang yang tidak mampu datang. (Mungkin) Kita merasa (kehadiran) orang hebat itu, kaya dan sebagainya, berkat majlis tersebut.
“Namun, adakalanya yang anda tidak panggil (diundang) itulah yang ada keberkatan majlis tersebut,” ujarnya.
Jika penetapan pakaian bertema mahu dibuat juga, beliau menyarankan, cukuplah sekadar untuk ahli keluarga sendiri, bukan dikenakan kepada semua hadirin.
“Kalau kita nak tetapkan (warna atau tema) pakaian, tetapkan sekeluarga sudah (cukup), buat sedondon,” cadang beliau.
Walaupun menyedari banyak pembaharuan telah dilakukan dalam majlis perkahwinan dan kenduri seperti hiasan kereta dengan reben serta pakaian sedondon, Ustaz Azhar menegaskan, selagi tidak bercanggah dengan syarak, maka ia tidak menjadi satu kesalahan.
Namun demikian, penceramah itu mengingatkan agar umat Islam tidak terlalu terikut-ikut dengan budaya luar khususnya Barat yang menitikberatkan pakaian formal dalam majlis mereka.
“Kadang-kadang kita terikut-ikut dengan orang kafir. Bila buat majlis, mereka tetapkan pakai tuksedo, sut dan tali leher kupu-kupu (bow tie). Habis jadi Mr Bean belaka,” katanya berseloroh.
Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, Ustaz Azhar menegaskan, tiada masalah jika pakaian sedondon atau tema ditetapkan untuk kalangan keluarga sahaja, asalkan tidak menyusahkan orang ramai.
OR