rencana@hmetro.com.my
Masalah rambut gugur tidak asing dalam kalangan wanita dan lelaki.
Menurut American Academy of Dermatologists, keguguran rambut 50 hingga 100 helai setiap hari adalah normal.
Ia disebabkan faktor penambahan usia, masalah kesihatan dan pemakanan.
Justeru, selain penjagaan rambut yang berkesan, pemakanan juga perlu dijaga untuk kesihatan rambut.
Penggunaan produk perawatan rambut, diet kaya dengan vitamin adalah langkah penting bagi membantu mengurangkan keguguran rambut serta merangsang pertumbuhan rambut yang lebih sihat.
Antara enam makanan dan vitamin penting yang boleh membantu mengatasi keguguran rambut adalah telur, ikan salmon, kacang almond, bayam serta avokado
Telur
Telur adalah sumber protein yang sangat baik dan kaya dengan biotin.
Biotin adalah vitamin B yang penting untuk penghasilan keratin iaitu protein utama dalam rambut.
Ia dapat membantu menguatkan akar sekali gus mencegah rambut gugur.
Selain itu, telur juga mengandungi vitamin B12, yang penting untuk pembentukan sel darah merah dan memberikan oksigen kepada folikel rambut.
Ikan salmon
Antara sumber omega 3 yang baik adalah ikan salmon.
Ia dapat membantu mengekalkan kelembapan kulit kepala serta meningkatkan pertumbuhan rambut yang sihat.
Selain itu, ikan salmon juga mengandungi protein dan vitamin B12 yang memberikan sokongan tambahan kepada folikel rambut.
Kacang almond
Kacang almond kaya dengan vitamin E yang membantu melindungi rambut daripada kerosakan akibat radikal bebas.
Vitamin E dapat meningkatkan peredaran darah di kulit kepala dan merangsang pertumbuhan rambut yang sihat.
Selain itu, almond juga mengandungi magnesium yang menyokong kesihatan rambut dan mengurangkan rambut gugur.
Bayam
Bagi yang menggemari sayur-sayuran, jangan lupa mengambil bayam dalam diet harian untuk menjaga kesihatan rambut. Apatah lagi bayam kaya dengan zat besi, vitamin A, vitamin C, dan folat.
Zat besi juga penting untuk memastikan peredaran darah yang sihat ke kulit kepala dan folikel rambut.
Kekurangan zat besi boleh menyebabkan keguguran rambut. Selain itu, bayam juga membantu merangsang penghasilan kolagen yang diperlukan untuk pertumbuhan rambut.
Avokado
Avokado kaya dengan lemak sihat, vitamin E, dan biotin.
Vitamin E dalam avokado berfungsi sebagai antioksidan yang melindungi rambut daripada kerosakan manakala biotin menguatkan rambut.
Manakala, lemak sihat dalam avokado juga membantu mengekalkan kelembapan kulit kepala, memberi kesan positif terhadap kesihatan rambut.
Ubi
Ubi manis adalah sumber beta karoten yang sangat baik serta dapat ditukarkan kepada vitamin A dalam tubuh.
Ia penting untuk penghasilan minyak semula jadi di kulit kepala.
Vitamin A dapat membantu dalam memperbaiki tekstur rambut dan merangsang pertumbuhan rambut yang lebih sihat.
© New Straits Times Press (M) Bhd