Elak salah faham, PN gesa SPRM siasat segera dakwaan salah laku Shamsul Iskandar

Elak salah faham, PN gesa SPRM siasat segera dakwaan salah laku Shamsul Iskandar


Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan segera, menyeluruh dan bebas berhubung dakwaan yang dibuat oleh ahli perniagaan, Albert Tei.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, gesaan itu dibuat kerana dakwaan tersebut didakwa melibatkan seorang pegawai kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, keengganan atau kelewatan untuk menyiasat dakwaan tersebut berpotensi menjejaskan usaha kerajaan dalam memerangi rasuah, salah guna kuasa serta politik wang.

“MP PN juga menggesa semua pihak yang terlibat, sama ada secara langsung atau sebaliknya, supaya memberikan kerjasama penuh kepada SPRM.
“Sebarang salah laku oleh mana-mana pihak hendaklah diambil tindakan mengikut undang-undang tanpa pengecualian atau pilih kasih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PN gesa SPRM siasat segera dakwaan salah laku Shamsul Iskandar

Takiyuddin berkata, PN memandang serius pendedahan Albert yang mendakwa memberikan lebih RM600,000 kepada Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, yang mengumumkan peletakan jawatan semalam.

Menurutnya lagi, Albert turut mendakwa menyediakan lebih 300 halaman dokumen termasuk tangkap layar WhatsApp, resit dan gambar bagi menyokong dakwaan berkenaan.

“MP PN kekal komited pada prinsip-prinsip ketelusan, akauntibiliti, integriti dan kedaulatan undang-undang bagi menjamin keutuhan institusi kerajaan, maruah negara dan keyakinan rakyat,” tambahnya.

Semalam, Shamsul Iskandar meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri dan mendakwa wujud percubaan untuk menyerang beliau secara peribadi serta mencemarkan imej kerajaan MADANI.

Artikel lain: Pertahankan diri, Shamsul Iskandar letak jawatan sebagai Setiausaha Politik PM Anwar

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa Shamsul menulis surat sokongan untuk projek pembinaan sebuah hospital pada 2024 dan mendesak beliau dipecat.

Namun, Anwar pada 21 November lalu menyatakan tiada keperluan untuk membuat laporan terhadap tindakan setiausaha politiknya, meskipun mengesahkan menegur keras Shamsul kerana surat sokongan bercanggah dengan peraturan.

Shamsul mengangkat sumpah sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri pada 23 Disember 2022.

Sumber: FB Takiyuddin Haji Hassan





Source link

OR

Scroll to Top