Elak sengketa di Aidilfitri

Elak sengketa di Aidilfitri


Balik kampung meraikan Aidilfitri, bukan bererti semua ahli keluarga mesti duduk serumah. Ini pandangan saya yang ada 10 adik-beradik dengan kesemuanya sudah berkeluarga.

Kalau nak balik kampung serentak, alamatnya tak cukup bilik dan bilik air. Kami sekeluarga termasuk sewaktu arwah ibu dan abah masih ada, memang sudah sepakat mengenai hal ini. Saya yang waktu itu belum pun berumahtangga, sudah menghadaminya dan kini memperaktikkannya apabila sudah berkeluarga.

Lebih penting lagi bila anak-anak sudah meningkat remaja, ibu bapa perlu melihat balik kampung ini daripada sudut pandangan berbeza khususnya dari segi pergaulan dan batas aurat antara ahli keluarga.

Masa anak-anak masih kecil, isu ini tidaklah kita fikirkan sangat tetapi bila sudah anak remaja, lain.

Saya ada seorang kenalan yang ada enam beradik dan setiap tahun ibunya mensyaratkan untuk semua anak balik seretak serta tidur di rumah sama.

Kata kawan saya, masa anak masih kecil memang momen itu ditunggu-tunggu tetapi bila semakin menginjak usia dan anak-anak pun sudah besar, mereka menempah hotel untuk penginapan.

Ceritanya, kalau sudah namanya hotel memang tidaklah boleh berulang ke rumah induk itu setiap masa sebab jarak daripada rumah emaknya ke hotel memakan masa 40 minit.

Bermulalah episod perli memperli antara adik-beradik dan ipar duai. Namun, kawan saya hanya tebalkan telinga sebab dia tahu rumah yang sempit memang tidak manis kalau tidur bergelimpangan enam sekeluarga.

Ujarnya, emak sebagai orang tua seharusnya lebih matang dan tidak bersifat keanak-anakan.

“Bukan sedikit isu sumbang berlaku sewaktu pulang ke kampung, sebab itu aku lebih selesa tinggal di hotel untuk semalam dua,” katanya.

Benar juga kadangkala daripada sudut yang lain, ada juga ipar duai kita yang sudah berusia. Mereka mahukan lebih ketenangan dan tidak selesa bunyi bising bayi menangis.

Kalau bermalam beramai-ramai sudah pasti sesak dan menimbukan rasa tidak selesa.

Tak perlu pun rasa bersalah sebab kita ada alasan yang mewajarkan menginap di tempat lain.

Tetapi, janganlah pula waktu nak nak tidur balik ke homestay dan waktu makan sahaja, pandai pula datang ke rumah emak ayah. Memanglahlah patut terasa hati bila ada yang memerli.

Aidilfitri ini yang paling penting ialah kepulangan menziarahi keluarga dan sanak saudara. Lebih-lebih lagi Syawal itu memiliki rasa yang tidak sama dengan hari-hari biasa.

Sebab itulah ada yang sanggup menempuh kesesakan lalu lintas berjam-jam demi menatap wajah-wajah insan tersayang. Usah kita terlalu berkira. Tutup sebelah mata kesalahan atau kesilapan yang mungkin tidak disengajakan.

Terlalu banyak pesanan di media sosial yang mengingatkan sebelum balik perlu bawa itu ini, buat tambah rasa cuak pula. Kalau selimut bantal semua nak diimport, besar mana pula kereta yang perantau ini perlu bawa untuk pulang ke kampung buat bermalam sehari dua di rumah keluarga tersayang?

-Nor Afzan Mohamad Yusof Pengarang Rencana Utusan Malaysia





Source link

OR

Scroll to Top