AKHIR Oktober lalu, ada yang berkongsikan foto dan video bertema seram di media sosial.
Tidak kurang juga yang mengenakan kostum hantu, menghias ruang pejabat dengan labu berukir, malah ada juga yang memilih tema sebegitu untuk program mereka sempena Halloween.
Di sebalik hiburan itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengingatkan suatu yang jauh lebih penting iaitu tentang akidah dan identiti seorang Muslim menerusi khutbah Jumaatnya baru-baru ini.
JAWI menegaskan, penjagaan akidah dan maruah umat Islam adalah asas utama dalam kehidupan beragama.
Katanya, ia bukan sekadar persoalan kecil tentang pakaian atau hiburan, tetapi soal membezakan yang hak dan yang batil sebagaimana peringatan ALLAH SWT menerusi firman-NYA: “Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Maka bertakwalah kepada ALLAH wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maidah: 100)
“Ayat ini secara tegas membezakan antara kebenaran dan kebatilan serta halal dan haram. Para ulama tafsir ketika mentafsirkan ayat ini menegaskan, kebatilan akan kekal batil walaupun menjadi trend ramai umat manusia.
UMAT Islam diingatkan agar tidak leka dan terpesona dengan budaya asing yang tidak memberi manfaat kepada iman. Foto Canva
“Hal ini disebabkan kebenaran diukur dengan dalil syarak, bukan mengikut budaya tular. Mereka yang boleh memahami arahan ini disebut sebagai ulul albab (orang berakal) yang mampu membezakan nilai baik dan buruk,” kata khatib sebagaimana dipetik menerusi teks khutbah Jumaat bertajuk Membezakan nilai, memilih kebenaran.
Budaya meniru hakis maruah Islam
Dalam teks khutbah itu, JAWI menzahirkan kebimbangan terhadap fenomena tasyabbuh iaitu perbuatan meniru atau menyerupai amalan agama lain yang bercanggah dengan Islam.
Antaranya termasuklah sambutan Halloween yang berasal daripada kepercayaan pagan dan Kristian. Pada hari itu, mereka memakai pakaian berupa hantu dan syaitan serta mengukir labu.
“Apa yang menyedihkan, ramai dalam kalangan mereka yang beragama Islam sudah mula turut meraikan perayaan ini. Sedangkan Majlis Fatwa Kebangsaan dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melalui Irsyad Fatwa siri ke-91 menegaskan bahawa menyambut Halloween itu haram.
“Ini kerana ia mengandungi unsur tasyabbuh, simbol-simbol ghaib, hantu dan kostum menyeramkan serta perbuatan yang bercanggah dengan akhlak Islam. Malah, ia dikira syiar agama lain yang tidak boleh diikuti oleh umat Islam,” tegas khatib.
Hal itu jelas sebagaimana hadis diriwayatkan daripada Ibn Umar RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Walaupun perbuatan meniru-niru hari kebesaran bukan Islam kelihatan remeh bagi segelintir orang, namun tanpa sedar, perbuatan itu mengikis sedikit demi sedikit identiti kita sebagai Muslim.
“Akhirnya, tidaklah kita berbangga dengan syiar Islam dan generasi akan datang mengutamakan identiti serta budaya asing melebihi agama sendiri.

UMAT Islam diperintahkan untuk menjaga identiti sebagai Muslim, memilih hiburan halal dan menjauhi sebarang unsur yang bercanggah dengan akidah serta syariat. Foto Canva
“Sedangkan, kita diperintahkan untuk menjaga identiti sebagai Muslim, memilih hiburan halal dan menjauhi sebarang unsur yang bercanggah dengan akidah serta syariat,” jelasnya.
Didikan akidah benteng utama
Bagi mengekang budaya tasyabbuh menjadi lebih parah, JAWI mengingatkan, jalan penyelesaian terbaik adalah dengan memperkukuh pendidikan akidah sejak awal usia.
“Ibu bapa wajib memelihara tauhid anak-anak dengan tidak membiarkan mereka terjebak dalam perayaan yang bercanggah dengan akidah.
“Mereka juga perlu mendidik generasi muda agar memahami bahawa identiti Muslim adalah lebih mulia,” jelas khatib.
Selain keluarga, masyarakat turut diseru untuk menganjurkan program bermanfaat, memberi penerangan tentang hukum syarak dan menegur dengan hikmah jika tersilap langkah.

IBU bapa wajib memelihara tauhid anak-anak dengan tidak membiarkan mereka terjebak dalam perayaan yang bercanggah dengan akidah dan memahamkan mereka bahawa identiti Muslim adalah lebih mulia. Foto Canva
Teguran yang penuh hikmah, kata khatib, mampu memulihkan jiwa dan menanam rasa cinta terhadap agama.
JAWI juga mengingatkan Muslim agar tidak lupa bahawa Islam sudah menyediakan perayaan yang jauh lebih mulia dan penuh keberkatan iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.
“Nabi Muhammad SAW menegaskan bahawa perayaan Islam lebih baik daripada perayaan lain yang membawa kepada pahala dan keredaan ALLAH.
“Hidupkan syiar Islam ini dengan bersungguh-sungguh dan berbanggalah dengan perayaan ini. Justeru, tidak ada keperluan bagi umat Islam mencari-cari perayaan asing yang bukan daripada ajaran kita,” tegasnya.
Sebelum mengakhiri khutbah, JAWI mengingatkan bahawa menjaga akidah merupakan asas kepada keselamatan dunia dan akhirat.
“Janganlah leka dan terpesona dengan budaya asing yang tidak memberi manfaat kepada iman. Sebaliknya, penuhilah hidup dengan amal soleh, ilmu dan berbangga dengan syiar Islam sedia ada,” pesan khatib.
*Khutbah Jumaat disediakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan diterbitkan melalui laman web rasmi jabatan berkenaan.
Ringkasan AI
- – Akhir Oktober lalu, banyak yang berkongsikan konten bertema Halloween di media sosial
- – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menekankan pentingnya menjaga akidah dan maruah umat Islam
- – Menyambut Halloween dilihat sebagai tasyabbuh yang dilarang, mengandungi unsur yang bercanggah dengan Islam
- Pendidikan akidah sejak dini ditekankan sebagai cara utama menghindari budaya tasyabbuh
- – Islam memiliki perayaan sendiri yang lebih mulia dan seharusnya menjadi kebanggaan berbanding mengikuti perayaan asing






