Pearly (kanan) dan Thinaah bertekad untuk menghadiahkan gelaran dunia sempena Hari Kebangsaan 31 Ogos ini. Foto Agensi.
MENUJU 12 hari ke Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, pemain beregu wanita negara, Pearly Tan mengimbas detik kecewa apabila terlepas peluang untuk melangkah jauh pada pertandingan sama dua tahun lalu.
Beliau yang berpasangan dengan M Thinaah mengakui masih dihantui kekalahan kepada gandingan China, Zhan Shu Xian-Zheng Yu dalam saingan suku akhir edisi 2023 di Denmark meskipun sudah mendahului lawan.
“Saya masih belum ada memori terindah sebab belum pernah dapat pingat (Kejohanan Dunia), jadi cuma ada kisah sedih.
“Apa yang saya tidak boleh lupa pada 2023, kami sudah mendahului dalam suku akhir, tetapi kembali dipintas. Jadi saya memang tidak boleh lupakannya,” ujar Pearly.
Dalam saingan di Royal Arena, Copenhagen itu, mereka menang set pertama 21-17.
Menjengah permainan kedua, Pearly-Thinaah mendahului 12-6, namun pasangan lawan bangkit untuk menang 21-17 bagi mengheret aksi ke set penentuan.
Begitu juga pada set penentuan, mereka sekali lagi di depan 18-16, bagaimana gandingan China itu mengutip lima mata berturut-turut untuk mengesahkan kemenangan 21-19.
Kekecewaan tersebut sudah berlalu, Pearly-Thinaah kini lebih bersemangat dan membara sambil bertekad untuk mencipta sejarah tersendiri pada kejohanan sama di Paris bermula 25 Ogos ini.
Malah berbekalkan kedudukan di ranking kedua dunia, Pearly melihat peluang cerah untuk menghadiahkan kejuaraan sulung buat bahagian beregu wanita dalam kejohanan itu menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.
“Saya tidak akan membawa ingatan itu ke dalam gelanggang, cuma akan membawa pengalaman itu untuk digunakan pada masa akan datang.
“Memang momen itu meninggalkan kesan, bukan hanya dalam Kejohanan Dunia tetapi setiap kejohanan yang kami sertai.
“Kami menggunakannya sebagai motivasi dan berharap ia tidak berulang,” ujar Pearly.