GOL bekas pemain Manchester United, Anthony Elanga sudah cukup membolehkan Nottingham Forest menang 1-0 atas The Red Devils dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium City Ground pada Rabu.
Elanga, meninggalkan Old Trafford bagi memberi laluan kepada Antony, dua tahun lalu menghadirkan gol tunggal perlawanan pada minit kelima untuk tiga mata berharga pasukan tuan rumah.
Red Devils berusaha bangkit selepas itu namun tandukan Diogo Dalot separuh masa pertama terkena palang gol, manakala percubaan penghujung permainan pemain gantian, Mason Mount tersasar, gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.
“Sejujurnya satu perlawanan yang sangat sukar bagi kami.
“Namun ia rekod, pemain-pemain berjaya memecahkan kesemuanya dan hari ini City Ground adalah sebahagian daripada permainan,” kata Nuno.
Kemenangan itu juga mengulangi pencapaian mengatasi pasukan sama 3-2 di Old Trafford pada Disember lalu, melengkapkan kemenangan berganda liga pertama ke atas United sejak 1991-92 di bawah Brian Clough.
Tiga mata diraih Forest meneruskan musim luar biasa anak buah Nuno Espirito Santo untuk berada di tangga ketiga, lapan mata mengatasi Chelsea di tempat keempat.
Anak buah Ruben Amorim pula mencatat kekalahan liga pertama dalam lima menyaksikan The Red Devils berada di tangga ke-13 dengan 37 mata selepas mengharungi 30 perlawanan.