Elavarasan sasar bantu TRW raih kedudukan pertengahan liga

Elavarasan sasar bantu TRW raih kedudukan pertengahan liga


sukan@hmetro.com.my

Kota Bharu: Ketua jurulatih, E Elavarasan mensasarkan kedudukan di pertengahan liga bagi pasukan yang baharu dibimbingnya, Kelantan The Real Warriors (TRW) untuk saingan Liga Super musim 2025/26.

Jurulatih berusia 63 tahun itu berkata, beliau mahu mengembalikan kegemilangan pasukan Kelantan yang pernah menjadi pasukan digeruni satu ketika dahulu.

Katanya, dia menetapkan kedudukan sekurang-kurangnya di kedudukan kelapan liga membabitkan 13 pasukan yang bertanding.

“Walaupun dalam tiga, empat tahun ini kita tengok Kelantan down (merosot), kita fikir kenapa tidak kita bantu memulihkan kedudukan atau meninggikan tahap dia di Liga Super.

“Tetapi penyokong kena faham, bila tiga,empat tahun berada di bawah, ambil masa untuk naik, tahun pertama mungkin kita mula di kedudukan kelapan dan akan semakin baik,” katanya ketika ditemui dalam latihan pertama bersama pasukan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, hari ini.

Bekas jurulatih bawah 23 tahun itu tiba di Kota Bharu jam 3 petang tadi sebelum terus memulakan sesi latihan bersama pasukan.

Katanya, dia turut berdepan cabaran membina pasukan yang kebanyakannya terdiri daripada pemain muda dan baru.

“Kita perlu segerakan keserasian antara pemain, ambil masa, bukan mudah namun dengan bajet yang ada, kita kena beli atau cari pemain yang sesuai,” katanya.

Beliau berkata, dari segi pemain, TRW mempunyai beberapa pemain berpengalaman selain mencampurkan pemain muda yang berpotensi.

“Saya mempunyai beberapa pemain yang pernah bergandingan bawah 23,” katanya.

Elavarasan juga mengharapkan sokongan penyokong untuk memberikan motivasi bagi memulihkan pasukan Kelantan terutamanya TRW yang baharu dijenamakan semula daripada pasukan Kelantan Darul Naim (KDN) FC.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top