Elavarasan yakin kebangkitan Kelantan TRW

Elavarasan yakin kebangkitan Kelantan TRW


KOTA BHARU – Ketua jurulatih berpengalaman, E Elavarasan meletakkan keyakinan bahawa Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW), yang kini kembali mewarnai saingan Liga Super mampu bangkit mempamerkan prestasi terbaik sebagai langkah awal mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri ini.

Bekas pengendali skuad Harimau Muda Bawah 23 Tahun itu berkata, biarpun pasukan tersebut kini dibentuk hampir dari sifar, beliau optimis Kelantan TRW mampu tampil sebagai sebuah pasukan kompetitif musim ini.

“Kita tak boleh fikir macam zaman-zaman dulu. Sekarang, kita bermula dari bawah semula.

“Tapi saya yakin kita boleh bentuk satu pasukan yang baik,” katanya kepada pemberita pada sesi latihan pertama bersama pemain di Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Selasa.

Elavarasan

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan TRW, Datuk Irwan Rizal Mohd Ali Napiah.

Mengulas sasaran musim ini, Elavarasan menjelaskan objektif utama bukanlah kejuaraan atau kelompok teratas, sebaliknya menstabilkan pasukan dan memperbaiki prestasi secara berperingkat.

“Kami sasar dapat kedudukan kelapan. Itu yang paling realistik tapi paling penting kita tahu apa kekuatan dan kelemahan kita,” katanya.

Beliau turut menjangkakan tempoh adaptasi akan mengambil masa kerana sesi latihan penuh baru sahaja bermula, sedangkan pasukan lain telah lebih awal membuat persiapan pramusim.

“Pasukan lain dah dua minggu berlatih, kita baru nak mula latihan.

“Pemain import pun belum sampai dan harap yang datang nanti boleh pamer prestasi baik,” katanya.

Kelantan TRW merupakan penjenamaan semula kepada pasukan Kelantan Darul Naim FC (KDNFC) yang pernah bersaing dalam Liga Super sejak 2023.

Elavarasan mengakui, pembentukan semula pasukan kali ini amat mencabar kerana hanya tiga pemain musim lalu yang kekal, manakala selebihnya adalah muka baharu.

Menurut beliau, penyokong juga perlu memahami bahawa proses membina pasukan mantap memerlukan masa, kesabaran dan keyakinan terhadap pelan yang telah disusun.

Setakat ini, sekitar 50 peratus pemain import telah dikenal pasti dan dijangka akan melapor minggu depan.

“Pasukan ini kombinasi pemain berpengalaman dan pemain muda yang ada potensi.

“Ada juga empat pemain bawah 23 tahun yang pernah bersama saya semasa berada di skuad Kebangsaan,” katanya.

Elavarasan turut menyentuh soal motivasi dalam kalangan penyokong, yang menurutnya amat penting untuk membina mentaliti positif dalam pasukan.

Beliau dalam pada itu berkongsi dirinya yang menolak beberapa tawaran sebelum menerima pelawaan membimbing Kelantan TRW.

“Saya penat keluar masuk negara. Apabila Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Irwan Rizal datang beri tawaran, saya fikir, nak keluar lagi ke, atau duduk sini.

“Lebih baik duduk sini. Tak perlu pergi jauh. Jadi saya fikir, kepada tidak Kelantan?” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top