georgie@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Pelakon, Elisya Sandha, 26, tidak dapat menahan kemarahan terhadap isu memperlekeh wanita yang menggunakan kaedah epidural untuk bersalin dan dilabel sebagai ‘cheat code’.
Elisya atau nama sebenarnya Nur Elisya Sandha Hassan berkata, pemikiran sebegitu adalah satu penghinaan kepada kaum wanita kerana pengorbanan melahirkan anak sememangnya cukup besar.
“Bab-bab bersalin ini saya jadi emosi. Kalau lelaki tak pernah berada di tempat wanita mengandung, yang nak bersalin, sebelum cakap, fikirlah dulu. Ia adalah satu penghinaan.
“Kalau ambil epidural atau tak, kami tetap lahirkan manusia daripada badan. Itu bukan ‘cheat code’. Saya sebagai ibu dan sudah ada pengalaman bersalin, saya sangat sensitif.
“Saya pun bersalin menerusi pembedahan walaupun orang cakap bersalin normal lagi sakit. Memandai saja,” katanya.
Elisya yang bakal melahirkan anak kedua mengambil cuti sepanjang sembilan bulan kerana perlu jaga kandungannya.
Menurutnya kehamilan kali ini sangat berbeza dengan yang pertama dan dia perlu berehat disebabkan ada sedikit komplikasi pada awal trimester.
“Yang pertama saya masih boleh main boling, jalan-jalan, tapi kali ini cepat penat. Jalan sekejap saja sudah mengah. Jadi doktor cakap lebih baik saya berehat dan ikut nasihatnya.
“Saya tidak ambil sebarang tawaran sejak mendapat tahu diri hamil. Saya ada dapat beberapa tawaran selepas itu tapi tak boleh buat kerana watak kena pukul, menyelam, macam mana saya nak buat?” katanya.
Dia juga mengakui emosinya banyak terkesan terutama setiap kali melihat anak sulungnya, Bunga Elhaq yang kini berusia tiga tahun.
“Kehamilan kedua lebih beremosi berbanding anak yang pertama. Mungkin sebab saya dengan Bunga terlalu rapat dan rasa cepat bersalah terhadapnya. Tiba-tiba menangis sebab emosi.
“Alhamdulillah hujung-hujung ini, Bunga pun sudah sedia jadi kakak. Bila bangun pagi, dia akan bangun dan cium perut saya cakap tak sabar jumpa adik dia tidak lama lagi,” katanya.
Elisya mendirikan rumah tangga dengan Uzair Haqimy yang juga anak penerbit dan pelakon, Sheila Rusly pada Ogos 2021.
© New Straits Times Press (M) Bhd