norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selepas 30 tahun ditubuhkan iaitu sejak 1995 kumpulan Elite teruja apabila mendapat peluang dan kepercayaan menjayakan Konsert Elite Live ’25 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Konsert julung kali itu bakal berlangsung pada 20 September depan yang dibawakan penganjur, Icon Entertainment diasaskan, Iman Tang berikutan atas permintaan ramai.
Lebih istimewa lagi, Konsert Elite Live’25 ini turut menggabungkan semula lima anggota asal iaitu Azza, Shasha Saidin, Abby Abadi, Watie Sadali dan Linda Rafar.
Azza berkata, impian untuk Elite muncul kembali menerusi konsert berskala mega yang pertama mereka tercetus selepas menjadi penyanyi jemputan pada Konsert GenKRU, awal Mei lalu
“Ketika itu, sewaktu melihat sendiri keterujaan dan sambutan hangat daripada peminat membuatkan Elite sangat merasakan impak positifnya walaupun itu adalah konsert abang-abang KRU kami.
“Jadi, kejayaan dalam persembahan Elite di Konsert GenKRU itu membuatkan kami berlima memang mendapat inspirasi ingin mengadakan konsert juga,” katanya kepada Harian Metro pada sidang media yang berlangsung di ibu kota, petang tadi.
“Kami bukan nak bertanding sesama sendiri untuk buktikan siapa lebih hebat tetapi sekadar nak memeriahkan industri hiburan dan mengisi permintaan daripada peminat Elite,” katanya.
Bagi Abby pula, dia mengaku tidak sabar untuk menghiburkan peminat Elite yang akan hadir di konsert itu, selain mengimbau semula kenangan manis pada zaman 1990-an dulu.
“Segalanya berlaku di luar jangkaan kami sebab tak sangka Iman akan tawarkan Elite muncul dengan kami sendiri untuk menghiburkan peminat yang menyokong sehingga kini, sudah 30 tahun Elite.
“Insya-Allah, kami akan cuba buat persembahan yang terbaik dan berikan peluang untuk Elite menyanyi ‘live’ di hadapan peminat, sekali gus menghiburkan mereka,” ujarnya.
Iman berkata, selaku penganjur semestinya Konsert Elite Live’25 adalah projek yang melalui beberapa fasa penelitian, perancangan dan pelaksanaan yang tidak dilakukan secara sambil lewa.
“Konsert Elite Live’25 bukan dianjurkan secara tangkap muat, tetapi melihat kepada betapa masih relevannya ‘girl band’ seperti Elite ini untuk melakukan konsert berskala besar yang sepadan dengan mereka,” jelasnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd