Ella aktif buat kerja kebajikan, tapi secara senyap-senyap

Ella aktif buat kerja kebajikan, tapi secara senyap-senyap


norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ratu Rock Negara, Ella, 59, bersama suaminya, Kapten Azhar Ghazali giat melakukan pelbagai kerja kebajikan dan amal terhadap golongan memerlukan atas dasar simpati dan menghulur bantuan ikhlas bagi meringankan beban.

Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, bagaimanapun jarang mendedahkan perkara baik dilakukannya itu kerana selesa berbakti secara diam-diam, namun Azhar yang berkongsi mengenainya kerana mereka suami isteri mempunyai minat sama.

“Sebenarnya isteri saya, Ella pernah menyertai misi kemanusiaan ke Lubnan, menyantuni masyarakat yang menetap di khemah pelarian perang Syria bersama Yayasan Kebajikan Negara (YKN).

“Ella juga suka dan sering berkongsi idea untuk memperkasa sekolah-sekolah seni dalam usaha melahirkan generasi baharu pemuzik, termasuk melalui sumbangan pelbagai peralatan untuk tujuan pendidikan.

“Selain itu, Ella pun ada terbabit dengan aktiviti menyantuni gelandangan yang memerlukan bantuan makanan. Banyak perkara seperti ini yang dia buat sebenarnya tapi tidak dihebahkan secara meluas,” katanya Azhar kepada media.

Terdahulu, Ella dan Azhar hadir bersama pada sidang media sempena penganjuran Konsert Majlis Tertinggi RockQueen – Ella di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Menurut Ella pula, dia lebih selesa kerja-kerja kebajikan dilakukannya tidak diuar-uarkan secara meluas kepada pengetahuan umum kerana itu lebih baik demi menjaga privasi dirinya dan pihak berkenaan.

“Kalau tidak dihebahkan, saya rasa akan dapat lebih banyak pahala. Bahkan, mungkin juga mereka yang menerima bantuan itu akan berasa malu, jadi kita harus menjaga perasaan mereka juga.

“Kadang-kadang, kita pun rasanya tidak boleh berkongsi semua perkara yang dilalukan termasuk kerja kebajikan dibuat kepada pengetahuan umum kerana perlu menjaga privasi pihak lain itu,” jelsnya.

Sementara itu, Azhar memaklumkan lagi, dia mula mengetahui isterinya mempunyai minat mendalam terhadap misi kebajikan dan membantu golongan memerlukan selepas mereka mendirikan rumah tangga.

“Saya tahu perkara ini (aktiviti kemanusiaan dilakukan Ella) selepas kami berkahwin. Naluri melakukan kebaikan itu sentiasa ada dalam dirinya. Manakala, saya pula menjadi orang yang memudahkan urusan.

“Saya turut membantu mengatur pertemuan, membuat panggilan dan sebagainya untuk sama-sama berbakti kepada golongan memerlukan dengan Ella. Namun, asasnya tetap datang daripada diri kita sendiri.

“Selain membantu individu sakit, pelajar dan orang kelainan upaya (OKU), Ella juga secara peribadi turut menolong rakan-rakan artis terutama mereka yang kesempitan hidup, termasuk senior yang pernah bersama dengannya sejak awal dalam dunia muzik,” katanya.

Mengenai Konsert Majlis Tertinggi RockQueen – Ella, ia anjuran bersama Hitman Solution dan Rockqueen yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 Februari depan.

Konsert solo Ella mengetengahkan konsep berhibur sambil beramal itu turut menawarkan harga tiket serendah RM39 dengan tema khusus dipilih, ‘Peace, Love & Rindu’.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top