Ratu Rock negara, Ella, bakal mengulangi detik bersejarah dalam kerjaya seninya apabila mengumumkan penganjuran konsert berskala mega terbaharu, ‘Majlis Tertinggi Rockqueen’, yang dijadual berlangsung pada 14 Februari 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Konsert anjuran Hitman Solutions dan Rockqueen itu diangkat sebagai sebuah projek signifikan yang bukan sahaja meraikan lebih 40 tahun perjalanan seni Ella, malah membawa mesej kemanusiaan menerusi tema ‘Peace, Love & Rindu’.
Ella berkata, pemilihan nama konsert dan konsep yang dibawa bukan sekadar melambangkan gelarannya sebagai ratu rock, tetapi sebagai usaha meninggalkan legasi berbentuk nilai dan kesedaran.
“Menjelang usia 60 tahun pada 2026, saya mahu memberi impak yang lebih besar kepada masyarakat. Majlis Tertinggi Rockqueen adalah gerakan yang membawa aspirasi ‘Peace, Love & Rindu’,” katanya.
Tiga teras utama itu menggambarkan tiga aspek utama iaitu, Peace, solidariti terhadap perjuangan rakyat Gaza, Love, kesedaran mengenai isu buli di institusi pendidikan dan Rindu sebuah penghargaan buat para penggiat seni tanah air.
Berbeza dengan kebanyakan konsert mega, penganjur memilih pendekatan mesra rakyat dengan menawarkan harga tiket mampu milik agar semua lapisan peminat dapat hadir.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, berkata setiap pembeli tiket akan membuat undian mengikut tema yang dipilih.
“Setiap undian sama ada Peace, Love atau Rindu akan menyumbang RM2 kepada pertubuhan yang berkaitan. Ia cara kami memberikan semula kepada masyarakat,” jelasnya.
Rohit menegaskan walaupun harga tiket lebih rendah, produksi konsert tetap mengekalkan standard tinggi termasuk aspek audio, visual dan pengalaman keseluruhan.
Ella mengakui kembali ke Stadium Nasional membawa cabaran tersendiri, namun ia disambut sebagai motivasi untuk memberikan persembahan terbaik.
Menurutnya, semangat serta sokongan peminat yang konsisten menjadi kekuatan utama yang mengekalkan momentum kariernya selama hampir empat dekad.
Ella berharap penganjuran konsert ini mampu membawa manfaat yang lebih luas kepada masyarakat dan industri hiburan tanah air.
“Harapan saya agar sumbangan yang disalurkan dapat membantu pertubuhan terlibat. Semoga generasi muda terus cemerlang dan para seniman terus dibela,” katanya.






