Paris: Juara dunia dari New Zealand, Ellesse Andrews, memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024 dalam acara keirin wanita memperbaiki pencapaian selepas meraih perak Tokyo 2020 tiga tahun lalu.
Atlet berusia 24 tahun itu mengenepikan cabaran Hetty van de Wouw dari Belanda dengan kelebihan 0.062 saat untuk memenangi perlumbaan yang penuh mendebarkan manakala Emma Finucane dari Britain meraih gangsa.
Keirin yang bermula di Jepun pada 1948, akan bermula dengan pelumba perlu mengikut belakang motosikal sebelum memulakan pecutan ke garisan pada aksi tiga pusingan terakhir.
Dalam perlumbaan akhir itu Ellesse menjadi pelumba yang membuat pergerakan pertama ketika Emma cuba bangkit namun pelumba New Zealand terlalu pantas untuk ditewaskan.
“Sejujurnya, agak tidak percaya.
“Perak adalah satu permulaan menakjubkan buat kami pasukan New Zealand tapi mengatasinya hari ini dengan emas adalah luar biasa.
“Sejujurnya, rancangan saya dari awal adalah untuk bertindak balas dan menyesuaikan diri dengan pelumba lain, dan mudah-mudahan itu akan meletakkan saya di kedudukan yang betul menjelang loceng (pusingan terakhir),” kata Ellesse yang juga juara dunia.
Ini adalah pingat keduanya di Paris 2024 selepas membantu New Zealand meraih perak dalam acara pecut berpasukan.
Sementara Ellesse meraikan kejayaannya, ia adalah hari mengecewakan bagi Kanada apabila pemenang gangsa Tokyo 2020, Lauriane Genest, gagal melepasi suku akhir.
© New Straits Times Press (M) Bhd