Elliott enggan bazir masa lagi bersama Liverpool?

Elliott enggan bazir masa lagi bersama Liverpool?


PEMAIN tengah Liverpool, Harvey Elliott menyatakan hasratnya untuk tidak membazirkan masa ketika berada di fasa puncak karier, sekali gus meletakkan statusnya bersama The Reds sebagai pertimbangan utama pada jendela perpindahan musim panas ini.

Kenyataan pemain berusia 22 tahun itu hadir menjelang penyertaannya bersama skuad England dalam Kejohanan Eropah Bawah 21 Tahun di Slovakia pada musim panas ini.

“Situasi ini perlu dibincangkan bersama pasukan kerana saya kini berusia 22 tahun, dan akan menginjak 23 tahun musim depan.

“Saya tidak mahu membazirkan tahun-tahun penting dalam kerjaya saya kerana ia sangat singkat. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan,” kata Elliott.

Musim lalu, Elliott bergelut untuk mendapatkan minit permainan yang konsisten di bawah kendalian pengurus baharu, Arne Slot.

Beliau hanya merekodkan 18 penampilan Liga Perdana Inggeris, dengan 16 daripadanya sebagai pemain gantian.

Dua penampilan selaku kesebelasan utama pula berakhir dengan kekalahan kepada Chelsea dan Brighton, setelah The Reds mengesahkan kejuaraan liga.

Secara keseluruhan, Elliott mencatatkan 28 penampilan dalam semua kejohanan, termasuk enam permulaan.

Beliau menyumbang lima gol dan tiga bantuan gol dalam 822 minit permainan. Statistik ini jauh berbeza berbanding musim 2023-2024, di mana beliau membuat 53 penampilan (27 permulaan) dengan empat gol dan 11 bantuan gol.

Jelas Elliott lagi, dia perlu melakukan penilaian semula bagi meningkatkan lagi kualiti serta kematangan dalam permainan.

“Saya perlu membuat refleksi. Saya perlu melihat sama ada berpuas hati dengan apa yang sedang dilakukan dan bagaimana boleh memperbaiki diri sebagai pemain kerana itulah perkara paling penting.

“Saya hanya mahu meningkatkan diri dan menjadi versi terbaik diri saya. Jika itu bermakna saya perlu berhijrah, maka itulah keputusan yang perlu saya ambil dan saya hanya perlu melihat apa yang berlaku,” katanya.

Tambah Elliott lagi tiada faktor yang mendorongnya untuk meninggalkan juara liga berkenaan.

“Tiada apa yang membuatkan saya ingin pergi. Saya sayangkan kelab ini, saya sayangkan penyokong, pasukan.

“Saya juga menyokong mereka. Tetapi yang paling penting, ia adalah mengenai apa yang terbaik untuk kerjaya saya,” katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan meninggalkan Liverpool.

Elliott, yang pernah diketepikan selama tiga bulan akibat kecederaan patah kaki pada September lalu, menjelaskan: “Selepas kecederaan, saya fikir ia sentiasa sukar, tetapi berharap akan mendapat lebih banyak peluang, tetapi bola sepak adalah bola sepak.”



Source link

OR

Scroll to Top