sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Terengganu memberi amaran awal kepada pencabar utama, Johor, selepas Dahlia Hazwani Hasyim meraih emas acara ujian masa individu wanita pada saingan berbasikal lebuh raya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor di Bagan Lalang, hari ini.
Dahlia menamatkan perlumbaan sejauh 23 kilometer itu dalam masa 31 minit 7.044 saat (s) untuk menghadiahkan emas pertama Terengganu dalam acara berkenaan.
Pelumba Johor, Intan Suraya Tokiman meraih perak selepas ketinggalan 11.294s, manakala gangsa menjadi milik rakan senegeri, Nurina Qistina Zahraa Dewa Indra yang ketinggalan 1 minit 30.54s.
Ketua jurulatih Terengganu, Syed Husaini Syed Mazlan, kagum dengan prestasi Dahlia yang disifatkannya antara persembahan terbaik pelumba itu setakat ini.
Malah, Husaini menyamakan prestasi Dahlia dengan pencapaian pelumba terbaik negara, Nur Aisyah Zubir pada edisi SUKMA terdahulu.
“Kami memberi tumpuan kepada beberapa aspek tertentu ketika menjalani kem latihan di Thailand baru-baru ini dan ia membuahkan hasil.
“Ini antara persembahan terbaik Dahlia dan mungkin yang kedua terbaik secara keseluruhan selepas apa yang dilakukan Aisyah pada SUKMA sebelum ini,” katanya.
Dahlia bagaimanapun masih mempunyai tiga acara untuk disertai iaitu ujian masa berpasukan wanita, esok, diikuti kriterium pada Selasa dan perlumbaan lebuh raya lepas beramai-ramai pada Rabu.
Husaini sedar cabaran lebih sengit menanti skuadnya, terutama daripada Johor yang dianggap pencabar utama Terengganu.
“Saingan utama kami pastinya Johor.
“Sukar untuk meramalkan siapa yang akan menang kerana tahap persaingan semakin sengit pada setiap edisi. Ia juga bergantung kepada keadaan pelumba pada hari perlumbaan,” katanya.
Pada SUKMA Sarawak 2024, Terengganu muncul juara keseluruhan acara berbasikal selepas mengumpul lima emas, tiga perak dan empat gangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd
