September 8, 2024

Emas Olimpik 2024: Lebih banyak ganjaran menanti atlet

Emas Olimpik 2024: Lebih banyak ganjaran menanti atlet


GANJARAN bagi atlet kebangsaan yang meraih pingat emas pada Sukan Olimpik Paris 2024 dijangka bertambah apabila semakin ramai pihak tampil memberi sumbangan, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Hannah berkata, sumbangan tersebut adalah sebagai peluang kepada syarikat swasta memberi semangat dan sokongan kepada atlet negara yang berjaya menaiki podium di temasya empat tahun sekali itu.

“Untuk kerajaan, masih kekal RM1 juta, cuma sekarang ini pihak swasta ada menghubungi jawatankuasa Fast Track Road To Gold (RTG) untuk beri ganjaran kepada atlet yang membawa balik pingat emas.

Bagaimanapun, untuk ganjaran ini, ia akan diumumkan kemudian oleh jawatankuasa program itu nanti,” katanya.

Beliau berkata kepada media selepas merasmikan Program Kemahiran Latihan Asas (KLAS): Renang Khas Parlimen Kota Melaka di sini pada Jumaat yang turut dihadiri Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, V P Shanmugam.

Kerajaan sebelum ini menawarkan ganjaran RM1 juta buat atlet yang merangkul pingat emas di temasya yang dijadualkan berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos ini menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).

Sebelum ini media turut dilaporkan atlet negara kebangsaan yang membawa pulang pingat pada Sukan Olimpik di Paris bakal menerima habuan sebuah kereta berjenama luar negara.

Mengulas mengenai KLAS: Renang Parlimen Kota Melaka, beliau mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM15,240 bagi pembangunan program yang meliputi tiga kategori iaitu kanak-kanak dari keluarga B50, Orang Kurang Upaya dan warga emas.

“Peruntukan ini akan disalurkan melalui Persatuan Perenang dan Jurulatih Renang Malaysia (MASWIM) dan diharap memberi faedah kepada 40 lagi peserta yang dipilih oleh Khoo, sama ada peserta kanak-kanak atau warga emas. Ini adalah untuk memberi peluang kepada golongan tidak berkemampuan atau akses ke kelas latihan atau kolam renang untuk anak-anak mereka,” katanya.

Hannah mahu menjadikan renang sebagai bukan sahaja sukan, tetapi suatu kemahiran menyelamatkan nyawa memandangkan saban tahun terdapat kes lemas dilaporkan terutama ketika musim banjir.

Untuk itu katanya, kerajaan telah memperuntukkan RM3.6 juta dalam Belanjawan 2024 bagi memperluaskan pelaksanaan KLAS Renang bagi tahun 2024.

“Kita telah selesai bagi fasa 1 2024 (Jun) dengan 1,572 peserta, manakala fasa kedua yang bermula 27 Julai nanti akan diadakan di 39 lokasi di seluruh negara.


Jangan biar tekanan menguasai – Chong Wei

Dalam perkembangan berasingan, kira-kira dua minggu menjelang Sukan Olimpik Paris 2024, debaran pastinya kian dirasai pemain-pemain badminton negara apatah lagi selepas undian oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Jumaat.

Kesemua pemain negara kini boleh mencatur strategi kecuali juara dunia beregu lelaki 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang belum mengetahui saingan mereka pada temasya terbesar itu.

Undian bagi acara beregu lelaki tidak diadakan pada Jumaat apabila BWF memaklumkan ia akan dibuat pada satu tarikh yang bakal ditentukan susulan perbicaraan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Dalam berdepan lonjakan adrenalin itu, pemenang tiga kali pingat perak Olimpik, Datuk Lee Chong Wei mempunyai mesej ringkas untuk pemain: ‘Jangan biarkan tekanan menguasai anda tetapi fokus untuk mengharumkan nama negara’.

Lee Chong Wei. Foto Bernama

Lee Chong Wei. Foto Bernama

Menerusi undian berkenaan, beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah berdepan tugas sukar apabila berada dalam kumpulan bersama pilihan utama dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dalam Kumpulan D.

Turut berada dalam kumpulan sama, beregu ranking keenam dunia, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun dan beregu nombor sembilan dunia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia.

Meskipun berdepan laluan sukar, Chong Wei berharap Pearly-Thinaah dapat mempamerkan aksi terbaik dan memanfaatkan setiap detik di gelanggang dalam penampilan sulung mereka di Olimpik.

“Nikmati permainan dan jaga kesihatan diri,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.

Dalam pada itu pemain perseorangan profesional lelaki negara Lee Zii Jia mendapat laluan mudah untuk melepasi peringkat kumpulan dengan diundi bersama pemain ranking ke-72 dunia dari Sri Lanka, Viren Nettansinghe dan pemain nombor 63 dunia dari Sepanyol Pablo Abian dalam Kumpulan G.

Bagi acara perseorangan wanita, pemain profesional negara, Goh Jin Wei diundi bersama Kim Ga Eun dari Korea Selatan dan pemain Afrika Selatan, Johanita Scholtz dalam Kumpulan H.

Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut berpeluang cerah melepasi peringkat kumpulan apabila diundi dalam Kumpulan D bersama pilihan kedua dari China Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, beregu Amerika Syarikat Vinson Chiu-Jennie Gai dan pasangan Singapura Terry Hee Yong Kai-Jessica Tan Wei Han.

Hanya juara kumpulan bagi acara perseorangan dan dua beregu teratas dalam kumpulan layak ke peringkat suku akhir.

Saingan badminton Olimpik Paris akan berlangsung di Porte de la Chapelle Arena pada 27 Julai hingga 5 Ogos ini. – Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top