Emery belum mengalah, Enrique gembira

Emery belum mengalah, Enrique gembira


Paris: Pengurus Aston Villa, Unai Emery, menegaskan bahawa beliau masih percaya pasukannya mampu mengatasi Paris Saint Germain (PSG) dan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) walaupun mengalami kekalahan 1-3 pada perlawanan pertama suku akhir pagi tadi.

Villa mendahului pada babak pertama di Paris melalui jaringan Morgan Rogers, namun tuan rumah bangkit selepas rehat dengan dua gol hebat daripada Desire Doue dan Khvicha Kvaratskhelia.

Gol lewat masa tambahan oleh Nuno Mendes memberikan PSG kelebihan dua gol untuk dibawa ke Villa Park pada perlawanan timbal balik, yang kelihatan memberi tugas sukar kepada Emery untuk mengubah keputusan.

“Pada kedudukan 1-2, kami berfikir untuk bermain dengan tujuan menang dalam perlawanan seterusnya, dan pada kedudukan 1-3, ia tetap sama,” kata Emery.

“Tetapi kami di sini dan menikmati pengalaman ini, saya sangat bangga dengan prestasi pemain-pemain. Kami bersaing dengan sangat baik dan hampir mendapat keputusan yang baik.

“Pada akhirnya, dengan gol ini, keadaannya lebih kurang sama.

“Villa Park adalah rumah kami, dan di sana, kami berharap akan lebih kuat. Tetapi sudah tentu, mereka masih menjadi pasukan pilihan. Mereka menunjukkan kekuatan dan kualiti individu mereka.”

Villa datang ke ibu kota Perancis dengan tujuh kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan, yang meningkatkan peluang mereka untuk layak ke UCL musim depan dan mara ke separuh akhir Piala FA.

Namun, mereka mungkin memerlukan satu prestasi luar biasa di Birmingham pada Rabu depan untuk terus bertahan dalam UCL.

“Saya tidak gembira tetapi saya berpuas hati dengan prestasi pasukan. Ia satu pengalaman yang istimewa untuk kami berada di Paris dan bermain dalam suku akhir UCL,” tambah Emery.

“Perlawanan timbal balik akan tetap sukar dengan keputusan 3-1 seperti mana ia sukar pada 2-1. Kami perlu menang.”

Sementara itu, pengurus PSG, Luis Enrique, melahirkan kegembiraan dengan persembahan pasukannya dan menegaskan bahawa PSG tidak akan berundur dan ‘bermain secara spekulatif’ pada perlawanan timbal balik minggu depan.

“Perlawanan ini mempunyai sedikit semuanya, tetapi kami mengawalnya,” kata bekas pengurus Barcelona itu.

“Sentiasa sukar untuk menyerang pasukan yang bermain dengan blok rendah hingga sederhana, dan mereka menjaringkan gol menerusi serangan balas dari hampir kali pertama mereka masuk ke kawasan kami.

“Tetapi selepas itu, ‘Des’ menyamakan kedudukan dan sekali lagi dalam babak kedua, saya rasa kami layak untuk menjaringkan lebih banyak gol dan menang. Gol ketiga pada penghujung perlawanan adalah penyudah yang sempurna.”

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top