Emery puas hati jinakkan Fulham, Villa kian hampiri slot Eropah

Emery puas hati jinakkan Fulham, Villa kian hampiri slot Eropah


PENGENDALI Aston Villa, Unai Emery mengakui puas hati walaupun skuad bimbingannya sekadar mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Fulham dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Villa Park pada Sabtu.

Gol tunggal perlawanan hadir seawal minit ke-12 menerusi tandukan kemas Youri Tielemans sekali gus menyaksikan The Villans kini berkongsi 60 mata bersama Chelsea di tangga kelima liga yang hanya dipisahkan dengan perbezaan gol.

“Ini satu kemenangan yang fantastik. Kami sedang menetapkan objektif untuk kembali beraksi di pentas Eropah. Menewaskan pasukan seperti Fulham dengan sembilan mata di belakang kami adalah sangat penting,” kata Emery dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Meskipun menang dengan margin tipis, pengendali dari Sepanyol itu percaya anak buahnya layak meraih keputusan lebih besar.

“Kami berhak menang dan sepatutnya boleh menjaringkan satu atau dua gol lagi. Tapi saya tetap gembira dengan objektif kami adalah Eropah dan impian ke Liga Juara-Juara.

“Kami bukan pilihan utama, tapi kami akan terus bermimpi dan berjuang untuk itu,” tambah Emery.

Kemenangan ke-17 Villa musim ini, selepas mengharungi 35 perlawanan menyalakan lagi harapan mereka untuk menamatkan kempen di kelompok empat teratas EPL.

Kemenangan itu turut menyaksikan penjaga gol utama, Emiliano Martinez, mencatat rekod tanpa bolos kali ketujuh musim ini yang menjadi satu pencapaian membanggakan buat Emery.

“Catatan tanpa bolos sangat penting. Ia memberikan keyakinan kepada pasukan untuk bertahan dengan lebih kuat dan selesa mengawal permainan apabila lawan tidak mendapat peluang. Kami berjaya melakukannya hari ini,” jelasnya.



Source link

OR

Scroll to Top