Emery sahkan kecederaan Rashford

Emery sahkan kecederaan Rashford


MARCUS Rashford dijangka akan terlepas baki musim ini selepas pengurus Aston Villa, Unai Emery mengesahkan bahawa penyerang England itu mengalami kecederaan hamstring.

Rashford yang dipinjamkan ke Villa dari Manchester United pada Januari, tidak beraksi dalam kekalahan separuh akhir Piala FA kepada Crystal Palace pada Sabtu.

Rashford mengalami kecederaan otot ringan semasa perlawanan menentang Manchester City minggu lalu dan Villa kini mengesahkan bahawa tahap kecederaan pemain itu adalah serius.

Sepanjang ketiadaan Rashford, Villa mengalami kekalahan besar 3-0 di tangan Crystal Palace di Wembley dengan Ollie Watkins menggantikan peranan Rashford di barisan serangan.

Villa kini berjuang untuk kekal dalam perebutan slot ke Liga Juara-Juara (UCL) musim depan, namun berbaki empat minggu lagi sebelum musim berakhir, mustahil bagi Rashford untuk kembali pulih dan cergas.

“Kami melakukan ujian pada Jumaat dan ternyata ia adalah kecederaan hamstring.

“Jadi, kami memutuskan untuk merehatkan Rashford dan dia akan disisihkan untuk beberapa minggu,” ujar Emery.

Rashford telah memulakan sembilan daripada 12 perlawanan terakhir Villa, termasuk kedua-dua perlawanan suku akhir UCL menentang Paris Saint-Germain (PSG).

Pemain berusia 27 tahun itu telah kembali menunjukkan prestasi cemerlang yang pernah dipamerkan semasa bersama The Red Devils, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan Villa menandatanganinya secara tetap.

Masa depan Rashford kini kabur dengan pengurus United, Ruben Amorim mengesahkan bahawa pemain itu tidak termasuk dalam perancangan musim depan.

Amorim sebelum ini membenarkan Rashford meninggalkan kelab secara pinjaman selepas pemain itu secara terbuka mengeluarkan kenyataan mahu mencari cabaran baharu di dalam atau luar England.

Villa mempunyai pilihan membeli Rashford dengan harga £40 juta (RM230 juta), namun gaji mingguan pemain itu yang bernilai £325,000 (RM1.86 juta) mungkin menjadi halangan besar bagi kelab Midlands itu mendapatakan khidmtanya secara tetap.



Source link

OR

Scroll to Top