HARRY Kane menunjukkan sisi emosinya apabila beliau menyerahkan ‘legacy cap’ England kepada Djed Spence baru-baru ini.
Spence melakukan penampilan sulung antarabangsa apabila masuk sebagai pemain gantian dalam kemenangan bergaya 5-0 England ke atas Serbia, sekali gus menjadi pemain Muslim pertama mewakili skuad Three Lions.
Ia menutup perjalanan luar biasa Spence yang hanya benar-benar mencuri tumpuan sebagai pemain tetap Liga Perdana Inggeris pada separuh kedua musim lalu ketika Tottenham dilanda krisis kecederaan besar.
Pemain pertahanan itu menyertai Spurs pada 2022 selepas berhijrah dari Middlesbrough, namun ketika itu pengendali Antonio Conte tidak menyambut baik kehadirannya malah menyifatkannya sekadar pelaburan kelab.
Selepas gagal menyerlah dan melalui tempoh pinjaman yang tidak berjaya bersama Rennes, Leeds United dan Genoa dalam tempoh dua tahun, Spence akhirnya bangkit di bawah kendalian Ange Postecoglou sebelum mempamerkan prestasi cemerlang.
Kane, yang pernah bergandingan bersama Spence semusim di Tottenham sebelum berpindah ke Bayern Munich pada 2023 menyentuh ketabahan luar biasa pemain pertahanan itu ketika menyerahkan ‘legacy cap’ selepas debutnya.
“Kita ada pemain baharu buat penampilan sulung hari ini,” kata Kane dalam satu video yang dimuat naik di akaun rasmi England di X.
“Saya minta untuk lakukan ini kerana saya pernah lihat pemain ini tiga hingga empat tahun lalu di Tottenham dan dia melalui banyak dugaan.
“Dia terpaksa terus kuat, bekerja keras dan kini dia pemain England. Saya agak sebak kerana saya tahu betapa sukarnya untuk sampai ke tahap ini,” katanya.
Nada suara Kane mula bergetar sebelum beliau menyambung: “Saya nampak betapa peritnya perjalanan itu untuk awak. Jadi pujian buat awak, keluarga awak dan semua yang terlibat… awak memang layak.”
Penyampaian itu yang berlangsung di bilik persalinan England di Belgrade mendapat sorakan rakan sepasukan sebelum Kane dan Spence berpelukan, diikuti ucapan ringkas Spence.
“Saya amat bersyukur dapat membuat penampilan sulung. Saya sangat gembira. Perjalanan ini panjang, tapi akhirnya sampai juga. Tuhan itu Maha Besar, terima kasih,” kata Spence.
Dalam wawancara minggu lalu, Spence turut mendedahkan cabaran yang dilaluinya sepanjang karier, termasuk komen Conte sewaktu beliau menyertai Spurs.
“Saya buat dengan baik, naik ke Liga Perdana bersama Nottingham Forest dan saya teruja. Saya akan tandatangan dengan Tottenham. Jadi bila dengar komen sebegitu memang tak seronok.
“Ia sedikit menggugat keyakinan. Tapi saya seorang pejuang. Apa sahaja saya buat, saya akan cuba sebaik mungkin. Sekarang, saya berada di sini dan saya gembira,” ujarnya.
Ketabahan itu juga diuji apabila bekas pengurus Middlesbrough, Neil Warnock pernah secara terbuka meragui mentalitinya.
“Tidak ramai pemain yang boleh dikatakan masa depannya bergantung sepenuhnya kepada dirinya – ia tentang apa yang ada dalam kepalanya,” kata Warnock. “Dia boleh bermain di kelab besar England atau mungkin di liga bawahan lima tahun lagi, saya tak tahu.”
Namun selepas dipinjamkan ke Forest dan membantu pasukan itu memenangi final play-off Championship, Spence membalas secara sinis dengan memuat naik ciapan bergambar di X memaparkan dirinya meraikan kejayaan di bilik persalinan Wembley dengan trofi dan sebatang cerut, sambil “mengalu-alukan” Warnock ke platform tersebut.
“Saya tak kata ada senarai (orang yang meragui) atau sebagainya.
“Tapi saya memang ingat dalam hati siapa yang pernah meragui saya, dan memang rasa puas dapat buktikan mereka salah,” katanya.
Ringkasan AI
- HARRY Kane menyerahkan ‘legacy cap’ England kepada Djed Spence yang menjadi pemain Muslim pertama mewakili skuad Three Lions
- Spence mencuri tumpuan sebagai pemain tetap Liga Perdana Inggeris dengan Tottenham setelah berpindah dari Middlesbrough pada 2022
- Pengendali Antonio Conte tidak menyambut baik kedatangan Spence, menyifatkannya sebagai pelaburan kelab
- Spence bangkit di bawah kendalian Ange Postecoglou setelah melalui pinjaman yang tidak berhasil dengan Rennes, Leeds United dan Genoa
- Kane menyentuh ketabahan Spence semasa menyerahkan ‘legacy cap’, mengakui perjuangan Spence untuk mencapai tahap ini