Empat bulan penganjur lamar Udit Narayan jayakan konsert di Kuala Lumpur

Empat bulan penganjur lamar Udit Narayan jayakan konsert di Kuala Lumpur



najiy.jefri@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Penyanyi legenda India, Udit Narayan yang bakal mengadakan konsert solo pada 28 Disember ini dibayar jutaan ringgit untuk menjayakan persembahan di negara ini.

Pendedahan itu dibuat penganjur Konsert Udit Narayan Live in Kuala Lumpur iaitu Gunasegaran Palanisamy ketika ditemui pada majlis sidang media konsert berkenaan di sini, hari ini.

Gunasegaran berkata, pihaknya sanggup mengeluarkan kos yang tinggi demi memberikan hiburan bertaraf antarabangsa buat pencinta lagu Bollywood di negara ini.

“Ya tak dinafikan untuk membawa masuk Udit menelan belanja yang tinggi.

“Kalau boleh kami tidak mahu dedahkan kerana ramai yang akan terkejut apabila mengetahui kos sebenar.

“Udit adalah seorang penyanyi legenda dan pada konsert itu nanti, dia juga akan membawa pasukannya. Jadi kos jutaan ringgit itu termasuk rombongannya sekali,” katanya yang mewakili syarikat VVST Digital Creation.

Sementara itu, Pengarah First Pictures Sdn Bhd, Dzulhilmi Zainol, berkata, demi merealisasikan impian peminat di negara ini, pihaknya sanggup membawa penyanyi itu walaupun tidak meraih keuntungan besar.

Katanya lagi, pihaknya turut mengambil masa selama empat bulan untuk memujuk Udit menjayakan konsert itu.

“Kami mula melamar Udit sekitar Oktober tahun lalu. Walaupun beliau satu nama besar dalam industri muzik Bollywood, tapi segala proses berjalan dengan mudah.

“Kami mendapat persetujuan dengan Udit pada April tahun ini. Kalau ikutkan jadual seninya sangat padat kerana ada beberapa konsert besar di negara lain, tapi kami berjaya dapatkan persetujuannya,” katanya.

Penyanyi berusia 68 tahun itu dijangka membawakan 40 seleksi lagu popularnya dalam konsert yang dijangka berdurasi tiga jam.

Penganjur turut memaklumkan bakal mengundang tiga penyanyi Bollywood dan seorang penyanyi tempatan yang bakal diumumkan dalam waktu terdekat.

Tiket konsert yang bakal diadakan di Megastar Arena Kuala Lumpur itu sudah mula dijual hari ini pada harga RM148 hingga RM1,466.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top