London: Cole Palmer menjaringkan empat gol dalam masa 20 minit pada separuh masa pertama untuk mencatat sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika membantu Chelsea menewaskan Brighton 4-2. hari ini.
The Blues ketinggalan apabila Georginio Rutter mengambil kesempatan daripada kesilapan besar di bahagian pertahanan Chelsea dengan menanduk masuk gol pertamanya untuk Brighton.
Namun, Palmer pantas mencuri perhatian apabila muncul pemain pertama dalam sejarah Liga Perdana menjaringkan empat gol pada separuh masa pertama.
Pemain antarabangsa England itu menyamakan kedudukan selepas menyempurnakan hantaran Nicolas Jackson sebelum dengan tenang menjaringkan gol menerusi sepakan penalti.
Palmer melengkapkan hatrik ketiganya bersama Chelsea dengan sepakan percuma yang masuk ke sudut atas gawang gol lawan.
Carlos Baleba meraih gol untuk Brighton selepas satu lagi kesilapan daripada penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez.
Tetapi Palmer menutup aksi separuh masa pertama yang cukup bersejarah dengan satu lagi jaringan, melepaskan rembatan melepasi Bart Verbruggen.
Palmer hampir menambah satu gol lagi sebelum rehat, namun cubaannya terkena tiang dan satu lagi percubaan dibatalkan.
Selepas separuh masa pertama yang mengagumkan, separuh masa kedua berlangsung tanpa sebarang gol tambahan.
Brighton akhirnya mengalami kekalahan pertama di bawah bimbingan Fabian Hurzeler.
Sejak tewas kepada Manchester City pada minggu pembukaan musim, Chelsea sudah meraih 13 mata sekali gus memulakan musim ini dengan baik di bawah bimbingan Enzo Maresca.
© New Straits Times Press (M) Bhd