Empat lelaki samun kedai emas, larikan barang kemas RM500,000


KUANTAN: Sebuah kedai emas di Taman Pandan Damai, dekat sini, disamun empat lelaki bersenjata  memakai pelindung muka yang mengakibatkan kerugian hampir RM500,000 dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 2.13 petang.

Kata beliau, siasatan awal mendapati, semua suspek dipercayai masuk ke premis berkenaan sebelum mengacukan senjata dan melarikan sejumlah barang kemas.

“Suspek dipercayai terdiri daripada empat lelaki yang memakai pelindung muka serta membawa sebilah parang dan objek menyerupai senjata api jenis pump gun. Selepas melakukan samun, aemua suspek melarikan diri dari lokasi kejadian dengan menaiki dua buah motosikal,” katanya di sini, hari ini.

Ashari berkata, anggaran awal kerugian akibat kejadian itu adalah sekitar RM500,000 namun jumlah sebenar masih dalam proses pengesahan.

Katanya, polis kini sedang giat menjalankan usaha mengesan dan menangkap kesemua suspek yang dipercayai terlibat dan es disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kejadian berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Che Nur Junaidah Che Jusuh di talian 014-882 8135 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di talian 09-565 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top